Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Perniagaan restoran cuba program langganan bulanan

    Gambar AP

    WASHINGTON – Pengguna sanggup membayar yuran langganan bulanan untuk perkhidmatan penstriman, makanan haiwan peliharaan dan juga kertas tandas. Dan kini beberapa restoran bertaruh untuk melakukan perkara yang sama kepada hidangan kegemaran mereka.

    Rantaian restoran besar seperti Panera dan P.F. Chang serta kedai di sekitarnya mencuba program langganan sebagai cara untuk memastikan pendapatan dan kunjungan daripada pelanggan.

    Beberapa buah restoran menawarkan minuman tanpa had atau penghantaran percuma dengan bayaran bulanan, ada juga yang menyajikan hidangan pencuci mulut kegemaraan awda setiap kali awda berkunjung.

    “Ini hanyalah satu lagi cara untuk pelanggan memberikan sokongan terhadap tawaran kami,” kata Matt Baker, chef di Gravitas, sebuah restoran berbintang Michelin di Washington.

    Untuk $130 sebulan, mereka yang melanggan Gravitas Supper Club akan diberikan hidangan tiga jenis sajian untuk dibawa balik untuk dua orang. Baker berkata Gravitas beralih kepada makan bawa pulang semasa wabak melanda tetapi permintaan menurun apabila ruang makan dibuka semula. Dengan program langganan, The Supper Club dapat menyajikan kira-kira 60 pengunjung setiap bulan, sekali gus memastikan aliran pendapatan.

    Matt Baker, cef dan pemilik Gravitas, semasa di restorannya yang mempunyai perkhidmatan langganan yang menawarkan hidangan bulanan untuk dua orang.

    Rangkaian restoran Cina mewah, P.F. Chang juga melihat peluang untuk meningkatkan pesanan bawa pulang dengan pelan langganannya, yang dilancarkan pada September.

    Untuk A$6.99 sebulan, mereka yang melanggan mendapat penghantaran percuma dan beberapa faedah lain.

    Restoran lain juga sedang bereksperimen jenis langganan ini yang membenarkan pengunjung membuat prabayar untuk kunjungan mereka.

    El Lopo, bar San Francisco, mempunyai 26 langganan dalam Kelab Take-Care-Of-Me.

    Mereka membayar sama ada A$89 sebulan untuk kredit makan A$100 atau A$175 sebulan untuk kredit A$200. Apabila ahli datang ke El Lopo mereka akan dihidangkan dengan hidangan kegemaran mereka.

    Pemilik El Lopo, Daniel Azarkman memulakan kelab itu pada Mac 2021 untuk menggalakkan pelanggan kembali setelah wabak berkurangan. Kini, dia mendengar daripada restoran di seluruh negara yang berminat untuk memulakan program serupa.
    Rick Camac, pengarah eksekutif Perhubungan Industri di Institut Pendidikan Kulinari, berkata beliau menjangkakan lebih banyak restoran akan menawarkan langganan pada tahun-tahun akan datang.

    Katanya, pengguna sudah terbiasa dengan konsep tersebut, dan pendapatan bulanan tetap dapat membantu restoran menguruskan aliran pendapatan tunai mereka.

    Tetapi tidak semua program langganan berjaya. Pada 2021, On the Border Mexican Grill memperkenalkan Kelab Quesonya, yang menawarkan saus keju percuma selama setahun dengan harga $1. Program ini berhenti mengambil pelanggan baharu setahun kemudian.

    Edithann Ramey, ketua pegawai pemasaran On the Border, berkata lebih 150,000 orang mendaftar untuk Kelab Queso, dan ahli yang mendaftar datang tujuh kali lebih kerap daripada tetamu biasa menyebabkan mereka tidak dapat menghasilkan keuntungan serta tidak dapat menampung kos hidangan kejunya.

    On the Border kini sedang mengubah semula program tersebut dan menjangkakan untuk memperkenalkannya semula lewat tahun ini. Ia mungkin mengenakan bayaran lebih atau beralih kepada model bulanan, kata Ramey.

    Taco Bell juga mencuba konsep langganan itu de-ngan Pas Taco Lover’s A$10, yang membolehkan pelanggan mendapatkan taco setiap hari selama sebulan.

    Pas itu diperkenalkan pada Januari 2022 dan sekali lagi pada Oktober kerana berjaya menjana peningkatan, tetapi rangkaian itu cuba memikirkan cara untuk menjadikannya lebih berharga kepada pengguna, kata Dane Mathews, ketua pegawai digital Taco Bell.

    Langganan boleh menjanjikan perkhidmatan yang lebih pantas, contohnya, atau memperkenalkan menu yang unik.

    Restoran-restoran lain telah menghentikan program langganan, mengatakan bahawa ia tidak mempunyai cukup tangan untuk mengendalikannya.

    Pada penghujung tahun 2020, SheWolf, sebuah restoran Itali mewah di Detroit, mula menghantar pelanggan sekotak pasta, sos dan hidangan lain dengan harga $80 sebulan.

    Tetapi apabila tempat makan dibuka semula sepenuhnya enam bulan kemudian, mereka tidak dapat memenuhi pesanan tersebut.

    Namun, SheWolf mengekalkan program langganannya iaitu menghantar wain Itali kepada kira-kira 80 pelanggan yang membayar A$60 atau lebih pada setiap bulan.

    Perniagaan lain mempunyai nasib yang lebih baik. Panera yang berpangkalan di St Louis, mempunyai hampir 40 juta ahli dalam program langganannya pada awal tahun 2020, tetapi ia mahu meyakinkan pelanggan untuk datang lebih kerap.

    Jadi ia melancarkan program langganan yang menawarkan kopi dan teh tanpa had dengan harga A$8.99 sebulan. Pelanggan mula datang beberapa kali seminggu, dan kira-kira satu pertiga daripada mereka juga memesan makanan.

    Tahun lepas, Panera mengembangkan langganan. Kini, ahli boleh membayar A$11.99 sebulan atau A$119.99 setahun untuk minuman panas dan sejuk tanpa had. Pelanggan tahunan juga mendapat penghantaran percuma.

    Eduardo Luz, ketua pegawai jenama dan konsep Panera, tidak akan berkongsi angka tepat tetapi dia berkata ahli kini membentuk 25 peratus daripada urus niaga perniagaan mereka.

    Idea itu cepat tersebar ke luar negara. Pret A Manger, rangkaian sandwic yang dimiliki oleh syarikat swasta yang sama dengan Panera, melancarkan langganan kopinya sendiri di United Kingdom pada 2020.

    Sehingga November, ia telah digunakan 1.2 juta kali seminggu. Pret juga menawarkan langganan di Perancis dan AS.

    Chris Hosford, perun-ding komunikasi di selatan California, menyertai pelan langganan Panera setahun yang lalu. Dia melepasi empat atau lima Panera pada laluan biasanya dan sering berhenti untuk mengambil kopi dan menjamu selera.

    “Ia bukan jumlah penjimatan yang besar, mungkin dalam anggaran $5 hingga $10 sebulan,” kata Hosford. “Tetapi ia cukup baik untuk saya.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...