Wednesday, May 8, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    PLAY@Ledge julang bakat artis komik Malaysia

    PETALING JAYA – Bersedia untuk dibawa ke dunia adiwira, penjahat, watak aneh, dan pengembaraan epik di PLAY@Ledge, sebuah pameran seni komik yang diadakan di galeri seni The Ledge di Pusat Beli-belah 1Utama di Petaling Jaya, Selangor dari 12 hingga 28 Mei.

    Siri PLAY yang bermaksud ‘Budaya Pop, Gaya Hidup, Seni dan Awda’, merupakan sambutan kreativiti seni komik yang bertujuan untuk mempromosikan komik dan budaya pop sebagai gaya hidup. Ia juga bertujuan untuk membina sebuah komuniti dalam kalangan peminat komik, dan menyediakan platform kepada artis untuk mempamerkan dan menjual seni komik dan barangan kraf.

    Sejak kemunculan pertamanya pada tahun 2017, ia telah mengadakan dua pameran fizikal di Kuala Lumpur dan tiga acara dalam talian. PLAY@Ledge adalah pameran fizikal ketiganya dan kali pertama menyambut kembali peminat ke ruang galeri seni.

    Pameran percuma ini mengetengahkan seni, penceritaan dan artis-artis komik Malaysia serta karya mereka – sesuatu yang dianggap kurang diberi perhatian oleh kurator bebas, Lee Heng Kok.

    Antara artis yang mengambil bahagian dalam PLAY@Ledge tahun ini adalah Adrian Tan, Cross, David Sundra, Faezal Tan, Farah Lina, Jon Tham, Julius Lee, Lipwei, Marzuki, Nasrul Azli, Niezam, Pok Nik, Qistina Khalidah, Rani Wukong, Redcode, Shi Min dan Uzair Rashid.

    ‘Witch and Gamelan Summoner’ oleh Farah Lina, yang merupakan sebahagian daripada pameran seni komik, PLAY@Ledge di Petaling Jaya. – Gambar serahan Farah Lina
    Siri buku komik ‘The Hunt For Blood Tiger’ oleh Faezal Tan. – Gambar serahan Faezal Tan
    Karya seni bertajuk ‘Hang In There’ oleh Qistina Khalidah. – Gambar serahan Qistina Khalidah
    Karya seni bertajuk ‘Suvarnabhumi’ oleh David Sundra, yang terkenal dengan dunia fantasinya yang sangat terperinci dengan unsur orang asli. – Gambar serahan David Sundra

    “Kami sangat berbesar hati untuk mengetengahkan bakat-bakat luar biasa ini. Karya mereka adalah bukti kepada budaya yang kaya dan pelbagai dalam komuniti seni kita.

    Terdapat dua perkara yang ingin saya tinggalkan kepada para pengunjung dalam acara ini: Bahawa komik adalah menarik dan ia akan menggalakkan mereka untuk membaca lebih banyak komik, dan bahawa mereka berpeluang mengenali artis-artis yang mungkin tidak diketahui sebelum ini. Ia adalah bonus jika acara ini dapat memberikan inspirasi kepada artis komik baharu atau menarik peminat baharu terhadap seni ini!” kata Lee.

    Pelbagai acara menarik diadakan

    “Di PLAY, kami memainkan peranan kecil untuk mengetengahkan artis-artis yang layak apabila kami berjumpa dengan mereka. Fokus kami sentiasa ditumpukan kepada komik dan penceritaan, dan kami sentiasa berhati-hati untuk tidak mengehadkan dan membatasi imaginasi artis-artis yang terlibat. Kami hanyalah platform kecil yang pada suatu hari nanti diharapkan akan dapat diiktiraf tidak hanya di peringkat serantau tetapi juga antarabangsa,” tambahnya.

    Selain pameran seni komik, PLAY@Ledge akan mengadakan sesi bertemu dan berkenalan dengan artis komik, dan pelancaran rasmi edisi terhad 44 muka surat artbook yang mengandungi seleksi karya-karya seni daripada artis-artis yang mempamerkan hasil kerja mereka. Hanya terdapat 100 salinan untuk dijual pada harga RM65 di acara tersebut.

    Program lain yang diadakan seiring dengan PLAY tahun ini adalah pertandingan seni dengan hadiah wang tunai yang boleh dimenangi. Terdapat beberapa kategori: kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, belia berusia 13 hingga 18 tahun, dan ahli Komuniti Komik Malaysia (berusia 19 hingga 99 tahun).

    Menghargai seni komik

    PLAY merupakan penghormatan kepada seni komik dan ilustrasi yang bertahan lama, sesuatu yang Lee minati sejak kanak-kanak lagi.

    “Pada pandangan saya, artis komik (di Malaysia) adalah sering kali kurang dihargai. Sebuah komik yang baik mengandungi watak yang menarik, cerita yang menarik, dan persembahan yang bergaya. Saya telah membaca komik yang dipersembahkan dalam line art hitam putih, ink wash, lukisan minyak, akrilik, watercolour atau campuran medium.

    Komik pada hakikatnya adalah filem dengan bajet yang tidak terhad dan sesiapa yang boleh melukis halaman komik yang lengkap dan koheren adalah wajar dihargai,” kata Lee.

    “Membesar dalam era pra-Internet, komik merupakan hiburan saya. Melalui komik, saya telah melawat berbilion-bilion dunia, menjalani ribuan kehidupan melalui watak-watak dan mempelajari perkataan dan pengalaman baharu. Media ini telah lama dihargai kerana keupayaannya untuk membina dunia baharu, menyampaikan idea-idea kompleks dan menyentuh emosi penonton.

    “Pelbagai gaya seni yang dibawa oleh para artis ke dalam cerita juga membolehkan saya menghargai gaya seni yang sesuai untuk menyampaikan cerita. Saya juga percaya bahawa komik adalah titik permulaan yang sempurna untuk mempromosikan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak,” kata Lee.

    PLAY – yang menjadi sepanduk acara komuniti untuk Facebook group MY Comic Community, yang bekerjasama dengan Pekomik untuk kandungan dan aktiviti – akan menghadiri Singapore Comic Con pada bulan Disember. – ANN/The Star Malaysia

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...