ALOR GAJAH, 9 NOV – Lebih banyak pokok merambong akan ditanam secara berperingkat di sepanjang pesisir pantai yang menjadi kawasan pendaratan penyu karah di Melaka khususnya di Padang Kemunting, Masjid Tanah di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri Nawar Abd Karim berkata pokok dari jenis tumbuhan renek itu berupaya menarik tumpuan penyu karah untuk mendarat dan bertelur.
“Penyu karah suka pokok merambong kerana ia sesuai untuk haiwan marin itu bersembunyi daripada sebarang gangguan terutama untuk bertelur apabila naik ke darat dan pokok ini mengeluarkan bau wangi dan mewujudkan persekitaran sejuk untuk penyu berlindung.
“Antara kawasan pendaratan penyu adalah di sekitar pesisir pantai di Alor Gajah terutama di Padang Kemunting kerana kurangnya gangguan dan di sini juga terletaknya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu,” katanya kepada pemberita selepas Penutup Program Voluntourism: Tanjung Bidara Beach Clean Up di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Exco Kanan Pelaburan Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sebanyak 300 anak penyu karah yang menetas malam tadi dilepaskan ke laut serta lima pokok merambong turut ditanam di kawasan itu. – Bernama
