NEW DELHI, 20 APRIL – Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada Rabu berkata rakyat mempunyai hak untuk mengadakan bantahan namun, mereka perlu mengelak daripada melakukan keganasan.
Kematian pertama ketika penunjuk perasaan mengadakan bantahan di bandar Rambukkana kelmarin telah mencetuskan kemarahan rakyat.
Mangsa dikatakan meninggal dunia selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
“Hak rakyat Sri Lanka untuk membuat bantahan secara aman tidak akan dihalang,” kata Gotabaya menerusi catatan di media sosial dan berjanji akan menyiasat insiden itu dengan telus serta terperinci.
“Saya menggesa rakyat elak daripada melakukan keganasan semasa adakan bantahan,” katanya.
Sri Lanka dilaporkan sedang mengadakan rundingan peringkat awal dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kewangan segera bagi menangani krisis ekonomi. – Bernama
