Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    ‘Profesor kecil’ tempa nama dalam LBR

    MALAYSIA – Tiga bulan lalu, Siddhar Kanagarajah, seorang pelajar berusia lima tahun, menempa nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) kerana mengenal pasti bilangan spesies dinosaur terbanyak (80) dalam masa kurang dari 60 saat.

    Baru-baru ini, kanak-kanak pintar dari Kuala Lumpur itu melakukan satu lagi pencapaian apabila dia menempa nama dalam Buku Rekod Lincoln (LBR) India kerana menjadi kanak-kanak termuda di dunia yang mengenal pasti bilangan sistem tubuh manusia yang paling banyak (anatomi dan fisiologi).

    “Saya gembira, teruja dan bertuah kerana menempa nama dalam LBR. Saya berminat untuk menghafal anatomi manusia kerana ia adalah cara terbaik untuk saya memahami apa yang berlaku dalam badan saya,” kata Siddhar dalam temu bual melalui emel.

    Pelajar sekolah antarabangsa Tahun Satu itu meraih pencapaian itu secara maya pada 19 Jun. Dia mengenal pasti 17 topik (11 sistem pusat badan manusia, lima organ deria dan struktur sel manusia) dalam masa kurang dari 25 minit.

    Siddhar mengambil masa 10 hari untuk menghafal, berlatih dan membentangkan topik.

    Siddhar menempa nama dalam LBR India pada 19 Jun kerana menerangkan 17 topik yang melibatkan sistem tubuh manusia dalam masa kurang dari 25 minit. – ANN/The Star

    Ibunya, Komathi Subermaniam, 33, membayar yuran untuk menyertai LBR, sebuah organisasi yang berpangkalan di Chennai yang mengenal pasti dan mempromosikan bakat individu.

    “Pada hari percubaan, terdapat beberapa orang pengadil dari Malaysia dan juga ahli panel dari India yang menyaksikan pembentangan Siddhar melalui Zoom.

    “Salah seorang ahli panel, iaitu seorang doktor perubatan, terdiam apabila menyaksikan bakat Siddhar. Dia juga berkata Siddhar melakukan usaha yang cemerlang, kelihatan seperti seorang profesor kecil yang menerangkan sistem tubuh manusia tanpa henti,” kata Komathi.

    Siddhar mula membaca ketika dia berumur tiga tahun tetapi ibunya mendedahkannya kepada huruf ketika dia baru berusia enam bulan.

    “Saya bermula dengan kaedah Montessori (pembelajaran secara langsung) dan menyedari keupayaannya untuk memahami sesuatu dengan cepat.

    “Kemudian, apabila berusia dua tahun, dia mula meminati dinosaur, jadi saya dan suami membeli mainan dan buku dinosaur dan memberi dia maklumat tentang makhluk pra-sejarah.”

    Siddhar, yang ingin menjadi ahli paleontologi atau ahli perniagaan, seperti bapanya, berkata, “Ibu saya berkata saya boleh menyebut tyrannosaurus rex, therizinosaurus, giganotosaurus dan brachiosaurus ketika saya baru berusia dua tahun.”

    Menyedari potensi anak sulungnya, Komathi yang seorang bekas ahli fisio-terapi memutuskan untuk memperkenalkannya kepada istilah perubatan.

    Hasilnya adalah luar biasa, kerana dia boleh menamakan struktur tulang yang berbeza selepas perkataan itu di sebut beberapa kali.

    “Dia seorang kanak-kanak yang ingin tahu. Dia sentiasa mempersoalkan tubuh manusia, termasuk mengapa orang jatuh sakit, bagaimana luka sembuh dan mengapa manusia memerlukan oksigen untuk bernafas.

    Memandangkan Siddhar berminat dengan tubuh manusia, mengajarnya asas anatomi dan fisiologi adalah mudah.

    “Selain itu, saya juga mengajarnya tentang astronomi, matematik, sains, geografi dan pengetahuan am.

    Keinginannya untuk mempelajari perkara baharu amat mengagumkan. Dia juga mempunyai ingatan fotografi yang baik,” kata ibu kepada tiga anak itu.

    Komathi menggalakkan ibu bapa untuk menyokong anak-anak mereka secara aktif untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

    “Perkembangan kognitif kanak-kanak bermula seawal usia. Mereka boleh menyerap dan memproses maklumat dengan cepat (apabila didedahkan) kaedah pengajaran yang sesuai. Selain itu, penglibatan ibu bapa khususnya di luar bilik darjah dapat mewujudkan pengalaman yang lebih positif kepada anak-anak.

    “Ibu bapa juga harus meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka untuk memastikan mereka dapat berkembang menjadi anak yang ceria.

    “Sebagai ibu bapa, jangan bandingkan anak awda dengan orang lain atau paksa mereka melakukan perkara yang mereka tidak suka. Sentiasa cari cara menarik untuk menyerlahkan yang terbaik dalam diri mereka,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...