Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pulihara kelestarian sungai

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Buat masa ini, belum ada sebarang penyelidikan dilaksanakan bagi mengesahkan kepupusan populasi spesies ikan tawar disebabkan oleh pencemaran.

    Walau bagaimanapun, pada masa ini, Jabatan Perikanan membuat survey stock assessment melalui alat-alat tangkapan nelayan di kawasan perairan teluk dan sungai-sungai Brunei bagi mendapatkan maklumat untuk spesies ikan di kawasan tersebut.

    Jika selesai, dapatan-dapatan tinjauan tersebut akan dikongsikan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin juga mengongsikan bahawa pihak Jabatan Perikanan akan membuat penyelidikan dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara ke atas spesies ikan air tawar yang berpotensi untuk dikomersialkan, yang memerlukan penyelidikan terperinci seperti mengenal pasti kawasan pembiakan, musim pembiakan, kitaran hidup dan sebagainya.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara itu bagi mengulas isu mengenai kawalan dan pemantauan untuk memelihara kelestarian sungai-sungai di Brunei Darussalam yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Salleh bin Othman di Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato telah menggaris beberapa akta atau peraturan yang di bawah bidang kuasa kementerian-kementerian tertentu yang bersangkut paut terhadap penjagaan kelestarian sungai dan perairan di negara ini.

    Sebagai contoh Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar di bawah SHENA dan perintah pencegahan pencemaran laut di bawah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPABD).

    “Di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan iaitu Jabatan Perikanan ada mempunyai Perintah Akta Perikanan 2009 dan dengan peraturan-peraturan yang berkaitan,” tambahnya.

    Memfokuskan kepada Jabatan Perikanan, beliau menjelaskan di bawah Akta Perikanan 2009, sebahagian alat yang merosakkan ekosistem tidak dibenarkan penggunaannya, seperti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan, racun ataupun spray gun.

    Bagi memelihara kelestarian sumber perikanan di perairan negara termasuk sungai-sungai, beliau menjelaskan bahawa undang-undang itu juga memperuntukkan bagi semua alat digunakan untuk menangkap ikan hendaklah dilesenkan.

    “Ini membolehkan Jabatan Perikanan untuk mengehadkan jumlah dan jenis alat-alat penangkapan ikan terutama yang mempunyai impak negatif terhadap sumber-sumber perikanan seperti kabat, tugu, kilung dan lintau,” tambahnya.

    Pihak Jabatan Perikanan juga dengan kerjasama erat agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Marin dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, selalu menjalankan rondaan bersama di kawasan perairan demi memastikan undang-undang dan peraturan tersebut dipatuhi.

    Selain usaha penguatkuasaan undang-undang, Jabatan Perikanan juga melaksanakan program untuk meningkatkan populasi spesies ikan air tawar dan udang yang diketahui sekarang dalam jumlah yang menurun.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...