Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Rakyat Cameroon nikmati AFCON berkat TV digital China

    YAOUNDE – Ia adalah hari yang penting untuk Jackson Bessala Ndongo, seorang peminat bola sepak. Negaranya, Cameroon, akan menentang Etiopia dalam perlawanan bola sepak yang akan menentukan kelayakan mereka ke peringkat kalah mati dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

    Pada jam enam pagi waktu tempatan, bapa kepada tiga orang anak itu sudah bersiap untuk menyiapkan kerja rumah, pergi ke ladang dan pulang tepat pada masanya untuk dia menyusun kerusi di tempat bapa saudaranya di mana dia dan beberapa penduduk kampung lain akan menonton perlawanan penting tersebut di TV.

    Tiga tahun lalu, ia adalah mustahil untuk mengikuti siaran langsung perlawanan di TV di kampung itu.

    “Bukan mudah untuk menonton perlawanan di kampung. Saya terpaksa berjalan lebih satu kilometer kadang-kadang kerana saya terpaksa pergi menonton perlawanan di pekan pusat. Kadang-kadang kami terlepas perlawanan pembukaan atau separuh masa pertama kerana kami tiba lewat,” kata Ndongo, 34, penonton yang meminati pertandingan Liga Juara-Juara.

    Ramai keluarga tidak mempunyai TV dan jika adapun, mereka hanya boleh menonton dua atau tiga saluran, TV digital merupakan di luar imaginasi mereka, tambah Ndongo.

    Juruteknik StarTimes memeriksa peralatan tayangan TV di Djounyat. – Xinhua
    Penduduk kampung meraikan kemenangan Cameroon menentang Etiopia semasa AFCON di Djounyat. – Xinhua

    Ketika itulah StarTimes melangkah masuk. Pada tahun 2019 apabila pengendali televisyen digital China datang ke kampung Ndongo, Djounyat, yang terletak kira-kira 75km di utara ibu negara Cameroon, Yaounde untuk membantu menyediakan isyarat TV satelit secara percuma sebagai sebahagian daripada projek bantuan China yang bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan kepada 10,000 kampung di Afrika.

    Perkhidmatan ini membantu orang Afrika luar bandar mengikuti acara dan berita semasa melalui lebih daripada 480 saluran.

    Di rumah ketua tradisional kampung, Faustin Bessala, tempat ayam berkeliaran di halaman rumah dan burung berkicauan di atas pokok, StarTimes memasang piring satelit besar yang menghubungkan set televisyennya ke ratusan saluran.

    Bessala, yang juga bapa saudara Ndongo, menggunakan projektor, hadiah daripada StarTimes, untuk memasang skrin besar di ruang tamunya. Di situlah Ndongo dan yang lain akan menonton siaran langsung perlawanan antara Cameroon dan Etiopia yang telah pun bermula.

    “Projek ini mendapat sambutan yang baik dalam komuniti kami kerana mereka juga memasangnya di rumah orang yang tidak memiliki set TV. Mereka berbuat sedemikian supaya mereka yang tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan pada waktu petang, boleh duduk di hadapan TV mereka dan berseronok. Itulah yang saya lakukan sepanjang masa,” kata Bessala, seorang peminat bola sepak.

    StarTimes mahu memastikan warga Cameroon di komuniti luar bandar menikmati siaran langsung acara bola sepak terbesar di Afrika, AFCON yang bermula pada 9 Januari di negara Afrika Tengah itu.

    Laurent Balla dan beberapa anak muda Cameroon yang dilatih oleh StarTimes, meronda di kampung untuk mengekalkan bahan TV dan memastikan pancaran imej yang berkualiti.

    “Saya rasa kerja yang telah saya lakukan bersama StarTimes adalah luar biasa. StarTimes menggaji ramai orang muda Cameroon. Setiap lelaki muda yang bekerja dengan StarTimes mempunyai kelebihan tambahan. Pertama secara profesional daripada pengetahuan yang diperoleh dalam teknologi, kewangan dan juga dengan kehidupan peribadi mereka, StarTimes membawa banyak manfaat,” kata Balla, pengurus wilayah StarTimes Center.

    “Kami mula bekerja untuk membuat pemasangan. Kami menjalani latihan, kursus dan peperiksaan. Malah juruteknik yang membuat pemasangan dengan kami, ramai daripada mereka telah diambil dan perlu melalui tempoh percubaan,” tambah juruteknik berusia 32 tahun itu.

    Sejak 2019, StarTimes telah berjaya memasang isyarat TV satelit percuma di 300 kampung Cameroon yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 orang, kata Balla.

    Untuk mengatasi masalah kekurangan kuasa berterusan di kawasan luar bandar Cameroon, StarTimes menyediakan set televisyen yang dilengkapi sistem tenaga solar, membolehkan orang ramai menonton TV selama enam jam selepas matahari terbenam.

    Begitulah kes di Nkoat-Abang, sebuah komuniti yang kebanyakannya bertani di pinggir Yaounde di mana penduduk kampung berkumpul dalam satu kumpulan yang mengandungi 15 orang dan menonton perlawanan AFCON apabila wartawan Xinhua tiba.

    “StarTimes di kampung ini adalah satu inovasi. Ia satu penemuan yang hebat. Walaupun hujan, kami masih mempunyai bekalan kuasa dengan StarTimes. Kami selesa, tidak perlu berurusan dengan isu kekurangan kuasa. Biarkan StarTimes terus melakukan perkara yang baik dalam komuniti kami. Awda boleh melihat dewan itu penuh kegembiraan ketika orang ramai menonton dan menikmati perlawanan AFCON,” kata Louis Marie Olinga Assama, 62, tokoh masyarakat Nkoat-Abang yang dihormati di mana penduduk kampungnya berkumpul untuk mengikuti perlawanan tersebut.

    Kembali ke Djounyat, Ndongo dan beberapa penduduk kampung lain telah pun mengambil tempat untuk mengikuti siaran langsung permainan Cameroon menentang Etiopia. Ia sudah tamat separuh masa dan permainan terikat seri 1-1.

    Projek StarTimes ialah contoh bagaimana syarikat China boleh meraih keuntungan dan bertanggungjawab secara sosial pada masa yang sama, kata Ndongo, menambah bahawa penyedia perkhidmatan televisyen langganan itu mempunyai beberapa pakej TV digital paling berpatutan di dunia. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...