Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Restoran terpencil Greenland saji menu tersendiri

    ILIMANAQ, DENMARK – Awda hanya boleh sampai ke sana dengan menggunakan bot atau helikopter, namun cef bintang Michelin, Poul Andrias Ziska berharap restorannya di kawasan terpencil Greenland, jauh di atas Garisan Artik, berbaloi untuk perjalanan tersebut.

    Cef berusia 30 tahun yang memindah restorannya KOKS dari Faroe Islands pada pertengahan Jun, meninggalkan di belakang lokasinya yang mudah diakses ke Ilimanaq, perkampungan desa yang terdiri daripada 50 penghuni tersembunyi di sebalik aisberg di kawasan utara.

    Ditempatkan dalam sebuah rumah kayu hitam, salah satu yang tertua di Greenland, restoran itu hanya mampu menampung kira-kira 20 orang sekali masa, dan eksperimen dengan hasil keluaran tempatan, termasuk ikan paus dan rumpai laut, dengan keluaran segar hampir mustahil dicari dalam cuaca kutub yang teruk itu.

    “Kami cuba memberikan tumpuan kepada seberapa banyak yang mungkin produk Greenland, segala-galanya daripada ikan halibut Greenland kepada ketam Alaska kepada Ptarmigan, pelbagai jenis herba dan beri yang berlainan,” beritahu cef berambut kusut dan berjambang itu kepada AFP.

    Cef muda itu sebelumnya menguruskan KOKS di rumah di Faroe Islands terpencil, di mana dia memperoleh bintang pertamanya pada 2017, bintang kedua pada 2019 dan gelaran restoran Michelin paling terpencil di dunia.

    Sajian ‘Ptarmigan dan salsa anggur’ dengan sayap burung grouse.- AFP
    Sajian Sup Muskox yang dihidangkan di restotan tersebut. – AFP
    Teh Bog Labrador bercampur susu dan lovage parfait, sentuhan cef Poul Andrias Ziska, di restoran KOKS. – AFP
    Cef dari restoran KOKS membawa bekalan ke dalam restoran yang ditempatkan dalam Poul Egedes House di Ilimanaq. – AFP
    Seorang cef KOKS menyediakan makanan di dapur restoran yang terletak dalam Poul Egedes House di IIimanaq, Greenland. – AFP
    Cef Poul Andrias Ziska memegang sepinggan ‘Matak’ yang terdiri daripada kulit dan lemak ikan paus di restoran KOKS. – AFP

    Dia merancang kembali ke sana untuk menubuhkan restoran tetap, tetapi menjelaskan dia sentiasa ingin mengembangkan masakannya di wilayah lain di kawasan utara, seperti Iceland, Greenland malah Svalbard.

    Akhirnya dia memilih Ilimanaq, perjalanan yang mengambil masa satu jam dengan bot dari Ilulissat, bandar ketiga terbesar di Greenland dan terkenal dengan glasier gergasinya.

    “Kami rasa masa adalah lebih sesuai, lebih menyeronokkan untuk melakukan sesuatu yang amat berlainan sebelum kami berpindah kembali ke restoran tetap kami,” beritahunya kepada AFP dari dapurnya, didirikan dalam sebuah treler di luar rumah bersama kawasan makan.

    Dengan hidangan 20 jenis sajian, menu yang istimewa itu akan memberikan pelbagai pilihan cita rasa dengan harga 2,100 kroner (AS$280), tidak termasuk wain dan minuman.

    “Menu adalah unik dan akan membawa awda menjelajahi kawasan kutub utara dan kembali,” beritahu Devid Gualandris, pelawat yang teruja dengan pengalaman makan di restoran itu, kepada AFP.

    “Daripada daging ikan paus kepada pelbagai minuman, daripada ikan segar baru ditangkap dan kerang-kerangan kepada pencuci mulut, segala-galanya mempunyai rasa yang tersendiri.

    Sementara daging ikan paus merupakan makanan ruji di Greenland dan kampung halaman Ziska di Faroe Islands, penangkapan ikan paus sudah diharamkan di kebanyakan negara di dunia dan aktivis telah menggesa amalan tersebut dihentikan.

    Satu tempat yang luar biasa untuk restoran gourmet, Ilimanaq – perkataan Greenland untuk ‘tempat harapan’ – merupakan tempat tinggal kepada komuniti kecil yang tinggal dalam rumah kayu yang cantik, bersebelahan dengan laluan pengembaraan berjalan kaki dan hotel mewah, menjadikannya satu tempat persinggahan yang ideal untuk pelancong kaya yang ingin menerokai kawasan baharu.

    Bagi Ziska, pelanggan di Greenland adalah berlainan.

    “Terdapat ramai orang di mana perkara yang menjadi keutamaan adalah melawat Greenland dan kemudian mereka datang ke restoran kami,” ujarnya.

    “Di Faroe Islands, pelancong hanya berminat datang dan makan di restoran kami dan sudah tentunya melawat Faroe Islands,” jelas cef itu.

    Selain pengembara yang telah pun terpukau dengan landskap Artik, Lembaga Pelancong Greenland berharap restoran itu juga akan membantu menarik pelancong yang menggemari makanan.

    “Kombinasi gastronomi yang unik, kemapanan masakan Atlantik Utara dan ciri-ciri sumber semula jadi Teluk Disko, merangsang kesemua deria kami,” kata pengarah Lawat Greenland, Hjortur Smarason, apabila mengumumkan ketibaan KOKS.

    Destinasi yang tidak diberi tumpuan sebelum ini, Greenland – wilayah pulau Artik yang sembilan kali saiz UK – mengalu-alukan lebih daripada 100,000 pelancong pada 2019, hampir dua kali ganda daripada populasinya, sebelum COVID menjejas momentum tersebut.

    Smarason berkata kehadiran KOKS ‘adalah apa yang kami rancang dalam usaha kami untuk menarik pelanggan tertentu.’ – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...