Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Rintihan petani Turki dihimpit kenaikan kos komoditi

    ESKISEHIR, TURKI – Veli Gelen telah mengusahakan tanah pertanian yang subur di wilayah Eskisehir di barat laut Turki selama beberapa dekad. Tetapi kini, dengan inflasi yang menjadi-jadi dan kos yang melambung tinggi, mata pencariannya berdepan pelbagai halangan.

    “Petani berada dalam keadaan yang teruk, dan keadaan bakal menjadi lebih buruk,” kata Gelen kepada Xinhua di kampung kecil Yesilyaka.

    Gelen menanam sejumlah kecil gandum, barli dan rai, dan memiliki beberapa ekor lembu.

    “Tahun lalu, harga diesel ialah 7 lira (kira-kira AS$0.45), sekarang 22 lira. Harga baja meningkat tiga kali ganda, harga makanan ternakan meningkat tiga kali ganda, dan baja cecair naik sebanyak 400 peratus. Kos yang melambung tinggi telah membebankan kami,” keluhnya.

    “Pendapatan kami juga menurun secara drastik, kami tidak dapat menggunakan baja, jadi tahun ini hasil tuaian dijangka menurun,” kata Gelen.

    Rungutan sedemikian semakin meningkat dalam kalangan petani di seluruh Turki, kerana mata wang tempatan telah jatuh secara berterusan sejak 2018, mendorong kos import naik dan menambah inflasi tahunan kepada 70 peratus, paras tertinggi dalam 20 tahun.

    Gelen berkata dia tidak melihat masa depan yang cerah, dan menyeru langkah segera diambil untuk menyokong petani. Komoditi yang terjejas berikutan pandemik COVID dan konflik Rusia-Ukraine telah memburukkan lagi masalah ekonomi Turki, yang banyak bergantung kepada import, terutamanya dari segi tenaga.

    Import bahan makanan Turki meningkat sebanyak 21 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, mencecah AS$17.2 bilion, menurut Persekutuan Persatuan Makanan dan Minuman.

    Rusia dan Ukraine, dengan kawasan pertaniannya yang luas banyak menyumbang kepada sumber makanan dunia, menyumbang sebahagian besar eksport gandum, minyak sayuran dan jagung dunia.

    Harga baja telah meningkat lebih 300 peratus dalam setahun, dan harga diesel iaitu bahan penting yang digunakan oleh petani untuk traktor meningkat sebanyak 32 peratus pada Mac sahaja, kata Kesatuan Dewan Pertanian Turki pada April.

    Sementara itu, inflasi pengeluar tahunan mencecah 121 peratus pada April, manakala kenaikan harga yang membabitkan produk makanan menghampiri 90 peratus setahun. – Xinhua

    Tetani membajak tanah di sebuah ladang di Ankara. – Xinhua
    Seorang petani memeriksa lembu peliharaannya di Eskisehir, Turki. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...