Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Robertson gesa Scotland tegas hadapi Ukraine

    LONDON, 26 MEI – Andrew Robertson kelmarin menggesa Scotland untuk mengetepikan sentimen apabila mereka menentang Ukraine pada separuh akhir play-off Piala Dunia minggu depan.

    Scotland menjadi tuan rumah kepada Ukraine Rabu depan dalam perlawanan separuh akhir yang dijadualkan semula dari Mac selepas pencerobohan Rusia yang bermula pada Februari lalu.

    Berikutan insiden itu, Ukraine pastinya mendapat sokongan peminat di seluruh dunia dalam perlawanan kompetitif pertama mereka sejak dilanda perang.

    Dalam pada itu, kapten Scotland, Robertson menekankan pasukannya untuk tidak membiarkan rasa simpati berlanjutan hingga ke perlawanan itu nanti.

    “Kami telah memberi mereka masa sebanyak yang mereka perlukan. Kami telah membantu mereka sedaya yang kami boleh tetapi pada malam Rabu, kami perlu bersedia beraksi memperjuangkan impian kami,” ujar beliau.

    Kapten Pasukan Scotland, Andrew Robertson mahu rakan sepasukannya kekal fokus ketika berdepan Ukraine di pusingan separuh akhir play-off Piala Dunia nanti. – Agensi

    Bek kiri Liverpool, Robertson, yang sedang bersiap untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara Sabtu ini menentang Real Madrid turut mengakui dia sendiri akan menyokong Ukraine jika mereka berdepan dengan negara lain.

    Namun Scotland tidak boleh dipengaruhi oleh emosi ketika mereka cuba melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.

    “Kami akan menerima Ukraine dengan tangan terbuka sebelum dan selepas perlawanan tetapi sepanjang minit perlawanan dilangsungkan, kami akan berjuang untuk impian kami,” katanya.

    “Kami akan pastikan itu mesejnya. Saya tidak dapat bayangkan apa yang mereka (pemain Ukraine) lalui, tetapi kami perlu bersedia untuk bertarung. Sebagai pemain, kami mahu ke Piala Dunia.

    “Mungkin semua orang di dunia mahu Ukraine menang. Jika ia adalah negara lain, saya juga mahukan mereka menang tetapi malangnya mereka bermain menentang negara saya dan kami perlu menghalang mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...