Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sahut seruan Baginda Sultan kembangkan perniagaan tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kemeriahan upacara kemuncak perbarisan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 di ibu negara, baru-baru ini, begitu cukup dirasai dengan jiwa penuh kesyukuran oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

    Tidak kiralah mereka yang menyaksikan secara langsung mahu pun melalui siaran televisyen pastinya ia merupakan acara kenegaraan yang ditunggu-tunggu saban tahun.

    Di samping itu, pelbagai pihak turut dilihat mengambil kesempatan memanfaatkan keindahan detik-detik bersejarah itu dengan mengagihkan makanan dan minuman secara percuma kepada orang ramai, sama ada peserta atau mereka yang hadir menyaksikan acara pada hari tersebut. Salah sebuah syarikat yang melaksanakan inisiatif berkenaan adalah Ghanim International Corporation Sdn Bhd (Ghanim) di mana seramai 13 pegawai dan kakitangannya telah mengagihkan makanan dan minuman percuma dari produk bruneihalalfoods.

    Ketika ditemui Media Permata di lokasi berdepanan dengan Ibu Pejabat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Pengurus Kanan Ghanim, Dayang Fatin binti Arifin meluahkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga untuk sama-sama menyambut ulang tahun hari keputeraan khalifah Negara Brunei Darussalam yang amat dikasihi oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama yang sememangnya terkenal dengan nilai-nilai keperibadian yang sentiasa dekat di hati semua.

    “Menyaksikan upacara sedemikian semestinya ia lebih menjentik jiwa anak-anak bangsa termasuk kami sendiri dengan semangat patriotik di samping berkongsi rezeki sekali gus demi melaksanakan inisiatif mengetengahkan keluaran produk-produk syarikat kepada orang ramai di negara ini agar ia lebih dikenali dengan nilai-nilai keistimewaan yang tersendiri,” tambahnya.

    Menjelaskan lebih lanjut mengenai inisiatif berkenaan, Dayang Fatin menyatakan antara produk yang diketengahkan secara percuma pada hari berkenaan ialah Mama’s Recipe Fish Crackers dan Blue Shrimp Crackers serta pelbagai minuman Serenitea dan Flava Froot di samping menyediakan promosi jualan Crackers Bundle termasuk sos cili bersama variasi warna pilihan beg rasmi kitar semula.

    Dayang Fatin semasa mengongsikan inisiatif mereka dalam mempromosikan produk-produk tempatan di samping sama-sama menyemarakkan lagi semangat patriotik di hari penuh bersejarah tersebut.
    Dayang Rohana ketika meluangkan masa seketika bersama penulis mengungkapkan rasa bercampur-baur dengan pembukaan aktiviti rentas sempadan nanti namun apa yang perlu menjadi tanggungjawab semua pada masa ini ialah untuk sentiasa ‘ubaya-ubaya’ walau di mana pun berada.
    Cathy Wee bersama suaminya turut menyambut baik akan pembukaan aktiviti rentas sempadan namun mereka berharap semua masyarakat terus memainkan peranan dan tanggungjawab sosial masing-masing dari segi langkah-langkah pengawalan jangkitan COVID.

    Demi menyahut hasrat Baginda Sultan

    Dayang Fatin turut menambah kepimpinan Baginda Sultan dalam menitikberatkan kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini agar terjamin dalam semua aspek termasuklah dalam menekankan perkembangan golongan usahawan dari pelbagai peringkat sentiasa membangun dari semasa ke semasa, lebih jelas lagi terlihat dalam usaha kerajaan membantu pihak-pihak yang terkesan dengan impak pandemik COVID selama ini.

    Beliau menjelaskan bahawa Ghanim merupakan sebuah syarikat yang dikendalikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mempromosikan produk makanan halal dengan jenama bruneihalalfoods. Inisiatif tersebut dijayakan dengan kerjasama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan hasrat membawa produk bruneihalalfoods ke pasaran tempatan dan antarabangsa serta mencapai aspirasi kerajaan bagi menyokong pemba-ngunan keusahawanan tempatan.

    “Alhamdulillah, meskipun pada saat cabaran pandemik melanda tanah air dan dunia amnya, syarikat ini dapat meneruskan kegiatan mengeksport produk-produk tempatan yang tersedia ke negara-negara luar seperti Singapura, dan Dubai dan dalam perancangan ke Bangladesh. Semua ini bagi menyahut hasrat Baginda Sultan dan juga aspirasi negara untuk membuktikan produk-produk anak tempatan mampu melakar nama di persada dunia dengan jayanya,” ujarnya.

    Pandemik tersirat hikmah

    Berbicara mengenai dengan pembukaan aktiviti rentas sempadan tidak lama lagi, Dayang Fatin turut menyambut baik akan ketetapan berkenaan walaupun pastinya akan ada cabaran yang bakal ditempuhi nanti namun perkara itu perlu diambil secara positif dengan menerapkan langkah dan strategi tertentu dengan sebaik-baiknya.

    “Apabila kita melihat suasana pandemik melanda tanah air sehingga membawa kepada penutupan sempadan negara dalam jangka masa yang lama sebelum ini, pastinya ia tersimpan hikmah di sebaliknya di mana golongan peniaga mahu pun pengusaha tempatan dapat meningkatkan sumber perekonomian mereka. Pelbagai pihak berusaha dan bersatu demi meningkatkan dan memperkasa aspirasi menjamin bekalan makanan negara dengan menggantikan pengimportan produk makanan seperti apa yang jelas terlihat pada para pengusaha home-based tampil dengan keupayaan mereka menghasilkan produk-produk beku seperti nuget dengan keunikan yang tersendiri.

    “Namun apabila pembukaan aktiviti rentas sempadan negara ini nanti, inilah masanya untuk kita bangkit dan berjuang kembali melawan arus kompetitif pasaran global dengan jiwa yang terbuka. Saya percaya dan yakin golongan syarikat tempatan pasti berani untuk menyahut matlamat tersebut,” ucapnya dengan nada keyakinan.

    Menyentuh mengenai penyediaan Brunei Food Industry Development (BFID) Multipurpose Manufacturing Facility yang kini diusahakan Ghanim dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan yang lain pastinya akan lebih membuka peluang yang luas kepada para peniaga atau pengusaha tempatan meliputi bidang makanan dan minuman mahupun pertanian untuk memperkasakan hasil sentuhan mereka dengan lebih berprestij dari segi pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan penjenamaan yang terjamin sebelum diketengahkan di pasaran tempatan sehingga ke persada dunia.

    Ubaya-ubaya di mana-mana

    Sementara itu, penulis berkesempatan menemu bual beberapa pengunjung yang menghadiri upacara yang berlangsung di ibu negara iaitu Cathy Wee bersama suaminya, apabila mereka diajukan pandangan mengenai pembukaan aktiviti rentas sempadan negara, Cathy turut menyambut baik akan pembukaan berkenaan namun mereka berharap semua masyarakat untuk terus memainkan peranan dan tanggungjawab sosial masing-masing dari segi langkah-langkah pengawalan jangkitan COVID yang masih ada di mana-mana.

    “Kita bukan sahaja perlu memelihara keselamatan dan kesejahteraan diri serta keluarga, kita juga bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan bangsa dan negara,” tambahnya.

    Sementara itu, salah seorang warga emas yang menetap di Kampung Tungku, Dayang Rohana binti Abdul Karim turut mengungkapkan apabila mendengar pembukaan berkenaan sememangnya rasa itu bercampur-baur bahkan apa yang perlu menjadi tanggungjawab semua pada masa ini untuk sentiasa ‘ubaya-ubaya’ walau di mana pun berada.

    “Bagi para pengusaha atau peniaga pasti akan mendapat kebaikan dengan memperoleh stok barangan untuk dijual di negara ini dengan mendapatkan harga yang lebih murah apabila berhubung terus dengan golongan pembekal di negara-negara jiran.

    Tetapi satu perkara yang menjadi cabaran ialah persaingan antara peniaga atau pengusaha tempatan dengan negara-negara jiran namun kreativiti golongan tempatan dalam meningkatkan promosi jualan adalah begitu mustahak untuk menarik kembali pelanggan setempat,” luahnya lanjut yang sudah tiba di sekitar upacara perbarisan berkenaan sejak 6:30 pagi lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...