Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Saman sivil: Plaintif diarah bayar defendan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Mahkamah Tinggi pada bulan Oktober lalu telah membuat keputusan yang memihak kepada defendan dalam saman sivil menyebabkan kos ditanggung oleh syarikat plaintif.

    Plaintif Lisa Development Sdn Bhd, diwakili peguam Veronica K Rajakanu dari Messrs VK Rajakanu dan Associates memfailkan tuntutan terhadap defendan Sam Hiang Thye yang diwakili peguam Eric Siow dan Jonathan Cheok dari Messrs Cheok Advocates and Solicitors.

    Tuntutan itu timbul daripada pertikaian mengenai pertukaran harta antara pihak. Antara lain, dokumen mahkamah menyatakan pertukaran itu dibuat antara 8 September 2006 hingga 23 Februari 2010.

    Plaintif menukar hartanah Brunei yang terdiri daripada 16 rumah kedai pegangan pajak dan sebuah rumah kediaman pegangan kekal dengan harta tanah milik defendan di Malaysia terdiri daripada 60 plot tanah pertanian zon campuran yang belum dibangunkan di Sarawak dengan saiz antara 0.0500 hingga 7.1920 hektar pegangan pajak dan pegangan kekal, serta sebidang tanah beralamat di Lot Nombor 255, Blok 5, Daerah Tanah Danau.

    Defendan telah melupuskan semua harta Brunei selepas pertukaran kecuali beberapa harta yang masih ada, sehingga tuntutan mahkamah dijalankan.

    Semasa tempoh pertukaran, pengarah plaintif ialah seorang lelaki bernama Hua Chan Nam (HCN), juga pemegang saham utama. HCN bertindak bagi pihak syarikat plaintif dalam urus niaga tersebut.

    Mahkamah juga menyatakan bahawa HCN mengalami strok pada 8 September 2006 dan strok kedua pada 23 Februari 2010 yang menyebabkan beliau menjadi tidak berupaya.
    Walaupun HCN tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu, kesan strok pertamanya telah dibangkitkan sebagai salah satu isu dalam perbicaraan.

    Berdasarkan perbezaan dalam nilai mata wang yang diberikan plaintif kepada harta Brunei dan harta Malaysia pada masa urus niaga, plaintif mendakwa bahawa defendan mengambil kesempatan yang tidak adil terhadap HCN dan urus niaga itu adalah tidak wajar dan diperoleh melalui tindakan defendan berdasarkan pengaruh yang tidak wajar terhadap HCN, dan berusaha untuk mengetepikannya; atau, di mana pengembalian kepada keadaan asal hartanah Brunei tidak mungkin dilakukan, perintah untuk pembayaran pampasan kewangan diberikan kepada mereka.

    Hakim Gareth John Lugar-Mawson, yang mempengerusikan prosiding, mendapati bahawa plaintif telah gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa defendan memperoleh kedudukan yang berupaya menguasai kehendak HCN.

    Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keterangan daripada saksi keluarga Hua, Pengarah Lisa Development Sdn Bhd, Pengiran Emran dan empat saksi yang rapat dengan HCN, menunjukkan HCN mengekalkan keperibadiannya yang kuat, tegas, sepanjang tempoh tersebut.

    Hakim Lugar-Mawson turut memberi pertimbangan kepada pertikaian di mana urus niaga didakwa tidak wajar, berdasarkan perbezaan nilai mata wang yang diatributkan plaintif kepada hartanah Brunei dan Malaysia.

    Mahkamah menekankan fakta bahawa tiada wang tunai dilihat telah dibayar dalam setiap pertukaran, sebaliknya ‘pertukaran langsung’ telah dilakukan.

    Oleh yang demikian, Hakim Lugar-Mawson telah menolak kesemua tuntutan plaintif ke atas defendan. Plaintif diperintahkan untuk membayar balik kepada defendan, sewa yang telah dibayar untuk dua hartanah Brunei seperti yang diperuntukkan di bawah Consent Order, bersama dengan faedah pada kadar penghakiman ke atas bayaran yang dikira dari tarikh pembayaran masing-masing sehingga tarikh pembayaran balik.

    Plaintif juga diperintahkan untuk membayar kos defendan bagi tindakan itu, akan dikenakan cukai jika tidak dipersetujui.

    “Seperti yang diminta oleh peguam defendan, memandangkan banyak isu yang dipertikaikan semasa perbicaraan, dokumen yang banyak yang dikemukakan semasa perbicaraan, bilangan saksi yang dipanggil, dan tempoh perbicaraan, saya memberikan defendan sijil untuk dua peguam bela,” mahkamah seterusnya memerintahkan semasa menamatkan saman sivil itu.

    Plaintif juga diperintahkan membayar kos tindakan guaman kepada defendan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...