Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sambutan Hari Kanser Sedunia di PJSC

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) hari ini memperingati Hari Kanser Sedunia, yang diraikan setiap 4 Februari, bersama para pesakit dan bekas pesakit kanser, pihak-pihak berkepentingan, doktor dan kakitangannya.

    Sambutan telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

    Dengan tema ‘Merapatkan Jurang Penjagaan’, yang ditetapkan oleh Kesatuan untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) bagi tempoh tiga tahun seterusnya, sambutan diadakan secara sederhana namun lebih mesra kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan COVID-19 sepenuhnya.

    PJSC juga memberi lebih tumpuan kepada pesakit atau bekas pesakit kanser mereka dan bagaimana cara semua orang memainkan peranan bersama-sama dalam merapatkan jurang penjagaan antara pesakit dan menyediakan penjagaan.

    PJSC bekerjasama dengan Rainforest Gallery di mana Pengurus dan Pemilik, Dato Paduka Shofry Abdul Ghafor telah menjalankan program yang dinamakan AfiyART sejak tiga minggu lalu sebelum sambutan dan disertai oleh 15 pesakit dan bekas pesakit kanser yang berpeluang menghasilkan seni mereka sendiri dan meluahkan fikiran serta perasaan mereka sambil menghimpunkan semua yang mana aktiviti seni itu juga merupakan salah satu bentuk terapi kepada pesakit dan bekas pesakit kanser.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PJSC, pusat berkenaan juga bekerjasama dengan Guerrilla Artchitect Studio untuk menghasilkan Mural Seni Grafiti dua sisi berdasarkan tema Hari Kanser Sedunia di mana sebelah dinding mempamerkan tafsiran Guerrilla Artchitect mengenai Hari Kanser Sedunia manakala sebelah lagi adalah karya seni yang dibuat dengan sumbangan dan idea daripada pesakit dan bekas pesakit mereka.

    Mural Seni Grafiti itu pada dasarnya membawa suara pesakit dan bekas pesakit mengenai perjalanan dan aspirasi mereka untuk tatapan semua. Lukisan-lukisan daripada program AfiyaART itu dipamerkan bersama Mural Seni Grafiti di samping vendor dan pameran yang memberi fakta tentang kanser bagi memeriahkan lagi majlis.

    Walaupun ia adalah acara tertutup, PJSC menghargai hakikat bahawa mereka masih boleh berkongsi hari penting ini dengan semua orang.

    Pada majlis itu, Dr Haji Mazrul Adimin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penyokong mereka iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Pfizer Sdn Bhd, Medipharm Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Massutera Engineering Sdn Bhd dan Suci.

    Dr Haji Mazrul Adimin beramah mesra bersama warga pengurusan BIBD selaku salah satu penyokong acara tersebut.
    Dr Haji Mazrul Adimin semasa mengunjungi salah satu petak pameran di majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...