Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    SASHHB rai 172 pelajar cemerlang

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seramai 172 orang pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), kelmarin, menerima hadiah terbaik pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang bagi sesi 2021 dalam Penilaian Pelajar Tahun 2021 bagi Sanah 5 hingga Sanah 10 (Normal Track).

    Majlis yang berlangsung di auditorium sekolah berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada 100 orang pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2021 yang berjaya memperolehi gred 5A dengan agregat 33 peratus.

    Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Pengetua SASHHB, Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor selaku pengerusi majlis.

    Peperiksaan PSR pada 2021, merupakan tahun yang sangat mencabar kerana peperiksaan tersebut tidak dijalankan secara bersemuka dan diganti dengan School Assessed Marks (SAM) berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara pada ketika itu.

    Prestasi pelajar yang memperolehi gred A hingga C dalam lima mata pelajaran adalah pada tahap cemerlang dengan mendapat 96.4 peratus dan pihak sekolah akan terus memantau pencapaian dan mengatur pelbagai strategi untuk pembaikan seterusnya.

    Pencapaian cemerlang para pelajar tersebut merupakan bukti keberhasilan usaha para guru dalam mendidik anak bangsa dan sokongan padu daripada ibu bapa yang berterusan.

    Majlis diadakan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan dan merupakan satu bentuk penghargaan atas usaha gigih pelajar yang telah meraih kejayaan dalam pembelajaran mereka.

    Ia juga sebagai satu motivasi serta pencetus semangat kepada para pelajar lain yang akan menghadapi masa depan lebih mencabar dan berdaya saing.

    Beberapa orang pelajar cemerlang yang sempat ditemu bual rata-ratanya melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang diperolehi, walaupun pada tahun lalu terpaksa melalui pembelajaran secara dalam talian.

    Salah seorang pelajar cemerlang menerima hadiah yang disampaikan Haji Norhisyam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...