Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Sektor pertanian, perikanan tunjuk peningkatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Sektor pertanian dan perikanan merupakan penyumbang utama pertumbuhan keluaran dalm negara kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2021, terutama bagi sektor bukan minyak dan gas, meningkat sebanyak 24.6 peratus daripada $471 juta pada tahun 2020 kepada $587 juta pada tahun 2021, manakala sektor perikanan meningkat 37.4 peratus daripada $13 juta pada tahun 2020 kepada $191 juta pada tahun 2021.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong mendedahkan perangkaan tersebut pada hari terakhir permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-18 di Dewan Majlis hari ini.

    Menurutnya, tahap sara diri bekalan makanan dalam negara juga meningkat, di mana kita hampir mencapai 100 peratus sara diri bagi bekalan ayam pedaging dan telur ayam ; 85 peratus sara diri bagi bekalan daging lembu dan kerbau dan ikan; 66 peratus sara diri bagi bekalan sayur-sayuran tropika; dan 8.7 peratus sara diri bagi bekalan beras tempatan.

    Beliau turut memuji usaha gigih para pengusaha pertanian, perladangan, penternakan dan penangkapan ikan yang menyumbang kepada pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi negara serta menjamin sekuriti makanan negara.

    Menurutnya, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) juga berusaha memastikan keluaran para pengusaha ini memenuhi sektor pemprosesan makanan dan permintaan eksport, di samping menggalakkan penglibatan pelaburan langsung asing (FDI) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sama-sama menyumbang ke arah meningkatkan keluaran daripada sektor pertanian dan perikanan, mengguna pakai teknologi dan teknik moden; menyasarkan pasaran eksport, serta mengamalkan urus tadbir yang baik.

    Beliau juga berharap dengan prasarana dan tanah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, belia dan anak muda negara ini yang masih mencari pekerjaan boleh menceburi bidang pertanian bagi membantu mengukuhkan strategi sekuriti makanan dan mengurangkan pergantungan kepada import makanan.

    Beliau turut menyeru orang yang telah diberikan tanah-tanah pertanian agar mengusahakan tanah mereka seperti yang dipohonkan dengan bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan tanah-tanah berkenaan terbiar serta tidak menyewakan tanah berkenaan kepada pihak lain.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai kekurangan buruh asing disebabkan masalah COVID-19, sama ada kesukaran mendapatkannya manakala yang ada, berkeinginan untuk pulang selepas lama berada di negara.

    “Insya Allah, melalui pendekatan seluruh negara, kita akan cuba sedaya upaya membantu pihak pengusaha untuk mendapatkan buruh-buruh yang dikehendaki demi memastikan keluaran hasil perusahaan tidak terganggu seperti bekalan padi dan beras, sayur-sayuran, daging ayam dan lembu, bekalan ikan dan udang, dan lain-lain,” tambahnya.

    Gambar fail menunjukkan Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika melakukan penuaian padi di KKP Kandol.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...