Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Seoul bakal adakan ujian ‘kenderaan terbang’

    SEOUL, 11 MEI – Kerajaan bandar raya Seoul bakal menjalankan ujian penerbangan ‘kenderaan terbang’ di laluan antara Yeouido dan Jamsil pada tahun depan sebagai sebahagian projek untuk mengkomersialkan pengangkutan baharu di kawasan bandar. 

    Kenderaan terbang yang dikenali sebagai mobiliti udara bandar (UAM), menggunakan pesawat  automatik untuk pengangkutan penumpang atau kargo di altitud lebih rendah dalam kawasan bandar dan pinggir bandar tanpa memerlukan landasan.

    Korea Selatan menyasarkan untuk menggunakan kenderaan sedemikian dalam perkhidmatan pengangkutan di kawasan metropolitan menjelang tahun 2025, lapor agensi berita Yonhap, memetik seorang pegawai. Kerajaan bandar raya Seoul bersama Kementerian Tanah akan menjalankan ujian demonstrasi sebanyak dua peringkat pada separuh kedua tahun ini untuk mengesahkan dan memastikan keselamatan projek itu. 

    Bandar ini akan menjalankan kajian peringkat pertama di kawasan terbuka pada separuh kedua tahun ini dan memilih pengendali projek serta melancarkan ujian peringkat kedua untuk kawasan ibu kota pada tahun depan.

    Laluan penerbangan, keselamatan dan rangkaian komunikasi penerbangan, pencemaran bunyi serta lain-lain akan tertakluk kepada ujian di peringkat kedua. Beberapa laluan penerbangan telah dipilih untuk ujian peringkat ke-dua, termasuk jarak 18 kilometer antara Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo, daerah barat Yeouido dan laluan 8 kilometer antara daerah selatan Jamsil dan Suseo serta di dua laluan masing-masing di wilayah Gyeonggi dan Incheon, barat Seoul. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...