Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Sherry Ibrahim tak betah duduk diam

    Berwawasan dan berdikari. Dua sikap tersebut cukup untuk menggambarkan profil diri Sherry Ibrahim.

    Tidak betah untuk duduk diam, Sherry atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim mengakui melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

    “Saya seorang yang ada visi. Bagi saya, sebagai seorang wanita, kita tidak boleh duduk menunggu sahaja. Tidak kira sudah berkahwin atau belum, kita kena ada matlamat untuk direalisasikan.

    “Walaupun saya masih aktif berlakon, pada masa sama saya menguruskan perniagaan sendiri dan ada kerja lain juga. Semua urusan berkaitan perniagaan diuruskan oleh saya sendiri tanpa mengharapkan bantuan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Mic On Selebriti terbitan Awesome TV di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

    Bagaimanapun, tegas bekas pramugari itu, kesibukannya mencari duit bukan bererti dia tidak mengimpikan kehidupan sebagai seorang isteri, apatah lagi bergelar ibu.

    Sherry kekal cantik dan ramping pada usia 40 tahun. – Agensi

    Namun, terlebih dahulu wajib untuknya menjana pendapatan bagi perancangan jangka masa panjang.

    “Kalau orang tanya saya, apa lagi yang mahu saya buat, saya memang mahu berkahwin. Usia saya kini 40 tahun, tipu kalau saya tak mahu settle down.

    “Tiada apa yang perlu disembunyikan, cuma seru itu belum sampai. Saya tidak lupa berdoa. Saya percaya Allah memahami dan Dia bagi saya bekerja dahulu,” ungkapnya yang gembira dengan kehidupan sekarang.

    Ditanya mengenai susuk tubuhnya yang kelihatan lebih kecil berbanding sebelum ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menegaskan, dia tidak mengalami masalah kesihatan seperti diperkatakan oleh segelintir pihak.

    Sebaliknya, kesibukan dan amalan gaya hidup sihat yang dipraktikkan sejak sekian lama membuatkan beratnya tidak naik.

    “Ketika saya berumur 20an hingga 30an, saya ada misi untuk pastikan mempunyai berat badan ideal sebelum berusia 40 tahun. Orang kata bila kita sudah memasuki usia itu, bentuk badan kita akan kekal begitu.

    “Jadi, saya memang menjaga pemakanan dan bersenam tiga kali seminggu. Namun, bila sibuk bekerja, saya hilang selera makan. Paling banyak pun, hanya jamah tiga sudu (makanan). Mungkin disebabkan itu berat saya tidak naik,” jelasnya yang kini mempunyai berat badan mencecah 46 kilogram sahaja. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...