Saturday, October 1, 2022
33.3 C
Brunei

Shiha teruja nyanyi lagu sendiri di AJL 36

-

Tahun lalu dirinya tampil sebagai penyanyi gantian untuk lagu dendangan bintang tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35. Kali ini, siapa sangka Shiha mempertaruhkan single sendiri, AEWO di acara berprestij itu.

Lahir daripada musim kelima program realiti, Mentor, penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mengakui tidak meletakkan harapan untuk menjadi finalis AJL 36.

“Sebak, gembira dan terharu… Perasaan itu silih berganti sebaik sahaja AEWO diumumkan mara ke peringkat akhir AJL 36.

“Pada malam Semi Final Muzik Muzik (SFMM) 36, saya tanam dalam hati diri ini datang untuk buat persembahan, bukan bertanding kerana tidak mahu kecewa jika gagal lagi.

“Sebelum ini, saya pernah letak harapan, tetapi tidak berjaya. Jadi, ketika pengumuman 12 lagu yang layak melangkah ke peringkat akhir dibuat, saya tidak berada di belakang pentas,” katanya yang bakal mempertaruhkan lagu AEWO dendangan bersama Noki K-Clique.

Single AEWO dicipta Ezra Kong, manakala lirik dihasilkan Ezra bersama Noki. Mendengar lagunya mara ke final AJL 36, Shiha tergamam.

Shiha mengakui tidak meletakkan harapan untuk menjadi finalis AJL 36. – Agensi

“Sudah lama saya teringin berada di pentas AJL mendendangkan lagu sendiri. Tahun lalu, saya gantikan Siti mempersembahkan lagu 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Lucka Sickta.

“Saya puas dapat bawa nama insan di belakang tabir seperti Ezra dan syarikat rakaman, Todak Music. Apabila dapat sesuatu yang sudah lama diidam-idamkan, tentulah rasa sangat gembira,” katanya yang pernah bersaing pada SFMM 33 mendendangkan lagu sendiri, Jagakan Dia.

Berkongsi persiapan ke pentas akhir, Shiha berkata, dia dan pasukannya mahu menampilkan persembahan yang menyerlah kelak.

“Kami akan gunakan kreativiti sama ada dalam aspek kostum, jalan cerita dan penggunaan lampu Light Emitting Diode (LED) pada malam itu. Kami juga mahu tampilkan kelainan dan keunikan tersendiri,” katanya.

Single AEWO pernah meraih trofi Pop Asia Terbaik pada Inter Continental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Julai lalu. – Agensi

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -