Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Syarikat penerbangan SAS catat kerugian, juruterbang mogok

    STOCKHOLM, 26 OGOS – Syarikat penerbangan Scandinavia, SAS, yang telah memfailkan perlindungan kebankrapan di Amerika Syarikat (AS) Julai lalu telah mencatatkan kerugiannya pada suku ketiga selepas mogok yang dilakukan oleh juruterbang, menurut syarikat itu hari ini.

    Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih 1.84 bilion kronor untuk tempoh Mei-Julai, berbanding kerugian 1.33 bilion kronor setahun sebelumnya.

    Pendapatan terjejas teruk disebabkan mogok yang dijalankan oleh juruterbang selama 15 hari antara 4 hingga 19 Julai, yang menyebabkan kira-kira 4,000 jadual penerbangan dibatalkan dan menjejaskan lebih 380,000 penumpang, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Walau bagaimanapun, permintaan asas keseluruhan untuk perjalanan adalah di tahap yang memberangsangkan pada suku musim panas dan SAS mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan apabila sekatan COVID telah ditarik balik di seluruh dunia.

    Hasil pendapatan telah meningkat lebih daripada dua kali ganda pada suku tersebut, kepada 8.58 bilion kronor daripada 3.98 bilion kronor setahun sebelumnya.

    Syarikat itu berkata ia berwaspada dalam tinjauannya untuk suku akan datang disebabkan ketidaktentuan yang sedang berlaku di seluruh dunia.

    “Trafik ke dan dari Asia kekal terjejas oleh sekatan COVID serta situasi geopolitik”, tambah kenyataan itu.

    Pengurusan SAS mengumumkan pelan simpanan pada Februari yang bertujuan memastikan kelangsungan syarikat, termasuk pemotongan kos sebanyak 7.5 bilion kronor dan digelar “SAS Forward”.

    Tunjuk perasaan itu telah menelan perbelanjaan syarikat penerbangan antara AS$9 juta hingga AS$12 juta sehari, merupakan protes terhadap pemotongan gaji yang dituntut oleh pihak pengurusan sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula.

    SAS Forward telah ditambah pada bulan Jun dengan rancangan untuk meningkatkan modal sebanyak hampir AS$1.04 bilion.

    Pada awal Ogos, SAS menyatakan telah memperoleh pinjaman AS$700 juta melalui pemeteraian perjanjian kredit pembiayaan penghutang dalam pemilikan (DIP) dengan dana yang diuruskan oleh Apollo Global Management. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...