Teknologi IR4.0 tangani ancaman cuaca ekstrem terhadap pekerja

KUALA LUMPUR – Pada Februari lepas, tular satu klip video memaparkan dua kren pelantar yang masing-masing dinaiki sekumpulan penyelenggara bangunan tinggi, melayang-layang dengan kuat akibat dipukul ribut, mengundang ngeri bagi yang melihat.

Insiden itu tidak berakhir dengan tragedi, namun membawa perhatian masyarakat kepada isu ancaman cuaca ekstrem akibat perubahan iklim dunia terhadap pekerja di lapangan, khususnya di tapak pembinaan dan bangunan tinggi.

Pakar keselamatan industri dan pihak berkepentingan melihat isu ini sebagai sesuatu yang harus diberi tumpuan segera oleh majikan. Ini kerana laporan penilaian iklim yang dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) sebelum ini menjangkakan cuaca yang lebih ekstrem akan berlaku dengan lebih kerap pada masa akan datang.

Ambil kira cuaca dalam SOP

Mengulas isu itu, penyelidik di Pusat Kelestarian Infrastruktur dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Haryati Shafii berkata sudah tiba masanya majikan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang mengambil kira keadaan cuaca bagi menjamin keselamatan pekerja lapangan yang berisiko.

“Majikan perlu lebih sensitif terhadap persekitaran lapangan dan pekerja, termasuk keperluan menyediakan garis panduan yang jelas apabila berhadapan dengan cuaca buruk.

Kemalangan di tempat kerja akibat bencana alam boleh dikurangkan menerusi penggunaan teknologi automasi.
Majikan perlu peka dengan keadaan cuaca semasa dengan merujuk ramalan kaji cuaca terutama sebelum memulakan operasi di lapangan yang melibatkan jentera berat.
Kerja mencuci tingkap di bangunan tinggi boleh ditambah baik menggunakan dron yang berfungsi sebagai penyembur tingkap tanpa perlu menggunakan tenaga manusia untuk mengelap tingkap.

“Antara garis panduan yang perlu ada ialah menghentikan serta-merta operasi kerana kemalangan melibatkan jentera berat berisiko berlaku dalam keadaan cuaca buruk sepertimana insiden sekumpulan pekerja yang menaiki gondola (kren pelantar) baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, majikan juga perlu peka dengan keadaan cuaca semasa dengan merujuk ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Menerusi cara ini, majikan boleh merancang penyelenggaraan dan pembinaan mengikut ramalan MetMalaysia, dan sekiranya cuaca menjadi buruk, majikan harus memberi arahan henti kerja serta-merta,” tambah beliau.

Haryati yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan Pembinaan UTHM, berkata risiko pekerja di lapangan lebih tinggi apabila membabitkan pengendalian jentera berat.

Justeru, tegas beliau, majikan harus pastikan pengendalian jentera tersebut hanya dilakukan oleh mereka yang layak selain jentera itu sendiri sentiasa diselenggara dan dalam keadaan baik.

“Ini termasuk pemeriksaan harian seperti brek, lampu, paras minyak, enjin berada dalam keadaan baik dan berfungsi sebelum digunakan bagi mengelak berlakunya kesilapan teknikal yang berisiko menyebabkan kemalangan kepada pekerja,” tambahnya.

Beliau berkata majikan juga perlu sentiasa mengadakan taklimat dan latihan keselamatan untuk pekerja yang berkenaan, termasuk memastikan kecekapan komunikasi, iaitu antara faktor yang dikenal pasti sebagai antara penyebab kemalangan di tempat kerja.

Teknologi IR4.0

Dalam pada itu, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) berpendapat sudah tiba masa untuk kerajaan dan pemain industri yang berkenaan memperluas amalan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan meningkatkan penggunaan teknologi dalam operasi mereka.

Presidennya Dr Shawaludin Husin berkata risiko kemalangan di tempat kerja akibat bencana alam seperti yang dipaparkan dalam insiden kren pelantar itu boleh dikurangkan menerusi penggunaan teknologi automasi.

“Untuk kerja pembersihan di luar bangunan, majikan boleh meneroka teknologi automasi, dan untuk kerja pemeriksaan pula boleh ditimbang penggunaan dron,” sarannya.

“Selain itu, sistem amaran awal bencana seperti ‘Meteorological Sensor’ dan ‘Thunderstorms Detector’ juga boleh mencegah kemalangan-kemalangan di tempat kerja yang disebabkan bencana alam,” tambah beliau lagi.

Dr Shawaludin berkata MSOSH yakin penggunaan teknologi IR4.0 yang meluas dapat membantu menambah baik serta memperkasa aspek keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP), khususnya di sektor pembinaan yang rata-rata masih lagi bergantung pada teknologi konvensional.

Bagaimanapun tegas beliau, usaha mengadaptasi IR4.0 itu tidak boleh dibebankan kepada majikan dan industri semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh kerajaan agar penggemblengan teknologi dalam industri berjalan lancar dan akhirnya memenuhi matlamat yang disasarkan.

“MSOSH bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak industri bagi menjayakan hasrat ini,” tambah beliau lagi.

Amaran awal cuaca

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Sawal Hamid Md Ali berpandangan sekalipun teknologi dalam menangani ancaman cuaca ekstrem terhadap pekerja di lapangan sudah tersedia, masih ramai majikan memandang sepi kerana menganggap fenomena tersebut belum mencapai tahap kritikal.

Beliau memberi contoh sistem amaran awal perubahan cuaca boleh membantu pekerja di tempat tinggi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. “Sistem itu yang boleh mengesan kekuatan dan arah angin, kebarangkalian hujan dan lain-lain membolehkan perubahan cuaca diketahui lebih awal, sekali gus membolehkan pekerja menghentikan kerja-kerja di lapangan dengan serta-merta jika ada potensi berlaku cuaca buruk,” jelas beliau.

Pandangan sama turut diutarakan oleh pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Ir Dr Siti Zawiah Md Dawal yang melihat ada keperluan pihak industri menambah baik operasi mereka dengan menggunakan teknologi IR4.0.

“Selain bergantung pada ramalan cuaca MetMalaysia, industri juga boleh menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melaksanakan kerja di kawasan berisiko atau bangunan tinggi.

“Contohnya, kerja mencuci tingkap di bangunan tinggi boleh ditambah baik menggunakan dron yang berfungsi sebagai penyembur tingkap tanpa perlu menggunakan tenaga manusia untuk mengelap tingkap tersebut,” katanya. – Bernama