Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tempahan sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    IPOH – “Semua kacang, keropok dan kerepek, yang ditempah pelanggan untuk sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina hangus dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan. Saya sangat sedih.”

    Demikian luahan pemilik premis DNS Kacang Putih, T. Sanggarlingam, 52, selepas perniagaan memproses kacang putihnya itu musnah dalam satu kebakaran.

    Sanggarlingam yang mengusahakan kedai kacang putih itu sejak 30 tahun lalu berkata beliau serta anak lelakinya S. Sathis Kumar, 30, baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja tempahan pelanggan di premis berkenaan kira-kira pukul 12:30 tengah malam.

    “Setengah jam kemudian, salah seorang jiran menelefon anak lelaki saya memberitahu ternampak percikan api dan terdengar bunyi letupan di dalam kedai itu dan tidak mengambil masa lama, mereka (jiran dan anak lelaki) menelefon pihak bomba.

    “Saya dan anak lelaki cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pemadam api tetapi gagal kerana api sudah semakin marak dan tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini.

    Sebuah premis memproses kacang putih DNS Kacang Putih di Laluan Sungai Pari 12, Buntong musnah dalam kebakaran. – Bernama

    Sanggarlingam yang kelihatan sedih berkata kesemua peralatan memasak dan pembungkusan bahan kudapan itu yang setiap satu bernilai RM80,000 hingga RM300,000, musnah dalam kebakaran tersebut dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata kebakaran di Laluan Sungai Pari 12, Buntong di sini turut melibatkan sebuah rumah dua tingkat, sebuah van dan sebuah motosikal.

    “Kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus. Rumah pula terbakar 30 peratus manakala van dan motosikal hanya lima dan 40 peratus. Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” menurut jurucakap tersebut.

    Jurucakap itu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 1.08 pagi tadi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela Pasir Pinji, Menglembu dan Pekan Baru digegaskan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 4.15 pagi. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...