Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Terus komited pimpin belia negara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Pentingnya golongan belia pada sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia itu sendiri sebagai pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara pada masa depan.

    Bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian, malah juga menjadi belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif supaya sejajar dengan kepesatan kemajuan dunia dalam pelbagai bidang.

    Media Permata baru-baru ini berkesempatan menemu bual penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, 37, menzahirkan perasaan gembiranya apabila dipilih bagi menerima anugerah berkenaan.

    “Alhamdulillah saya berasa gembira dan terharu setelah menerima anugerah berkenaan. Ia seolah-olah seperti diberikan penghargaan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan daripada orang ramai,” jelasnya.

    Beliau berkongsi bahawa sering kali diberi kepercayaan untuk mengetuai pelbagai jawatankuasa tertinggi dan kerja seperti pengerusi bersama Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong (tahun 2018, 2019, 2021, 2022) dan ketua Pasukan Perbarisan Puak-puak di Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2021 dan 2022. 

    Awang Abdul Aziz bergambar bersama sijil dan piala yang beliau terima semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17 yang diadakan baru-baru ini.

    Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi Pergerakan Belia Tutong dan telah menganjurkan beberapa program keagamaan sebagai inisiatif dan usaha memohon perlindungan daripada Allah SWT terhadap penularan COVID seperti Program Malam Munajat, Malam Munajat Tutong Care dan Malam Munajat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Tutong.

    Tambahnya, lebih 10 persatuan dan kumpulan belia telah terlibat selama lebih kurang 50 kali penganjuran yang telah diungkayahkan melibatkan seramai lebih kurang 1,000 belia di seluruh negara. Awang Abdul Aziz juga aktif selaku Sukarelawan COVID-19 dan dilantik selaku ketua kumpulan Program Inisiatif Pakai Pelitup Muka iaitu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan memakai pelitup muka. 

    Beliau telah melibatkan 50 orang belia dan mengagihkan lebih 1,500 pelitup muka kepada orang ramai dan selaku ketua penyelaras belia bagi Program Tutong Care di bawah Sukarelawan COVID-19 yang membantu petugas-petugas barisan COVID-19 di Daerah Tutong, telah berjaya mengagihkan lebih 4,500 pek makanan, 500 kotak makanan kering dan 180,000 helai pelitup muka kepada lebih 900 petugas.

    Semasa ditemu bual, beliau turut menyampaikan beberapa nasihat kepada para belia di negara ini untuk sentiasa melakukan dan bergiat aktif dengan segala aktiviti kemasyarakatan, keusahawanan, dan apa-apa yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri.

    Beliau pada masa yang sama menzahirkan harapannya agar para belia tidak berkira untuk menjadi sukarelawan dengan tidak mengharapkan imbalan dan meniatkan segala yang dilakukan adalah kerana Allah SWT di samping untuk berbakti kepada negara.

    Kepercayaan terhadap kepimpinan Awang Abdul Aziz turut meletakkan beliau untuk dilantik selaku ahli Jawatankuasa Penyelaras dalam Program Kebeliaan 3K dan Program Inovasi produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P). 

    Beliau telah mampu mewujudkan rangkaian kerjasama belia bersama MPK dengan penglibatan lebih 250 belia daripada MPK-MPK Daerah Tutong dan melahirkan 15 pengusaha baharu 1K1P dalam kalangan belia. 

    Beliau juga merupakan ahli Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong yang bertanggungjawab memartabatkan warisan, budaya serta kesenian bangsa melalui pelancongan,  berjaya memberikan manfaat kepada lebih 5,000 belia melalui aktiviti ekopelancongan Destinasi Tutong dan penganjuran acara-acara di peringkat daerah sejak tahun 2015. Kini beliau menjawat jawatan ketua Kampung Sengkarai, Tutong setelah memangku selama empat tahun dalam jawatan yang sama.  Beliau merupakan salah seorang ketua kampung yang termuda yang dilantik di negara ini.

    Beliau telah berjaya menghasilkan produk Tutong Flames (sos cili) dan didaftarkan sebagai 1K1P Kampung Sengkarai dan sering mendapat pemintaan tinggi di pasaran.

    Awang Abdul Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang yang bersikap rendah diri dan murah dengan senyuman dan disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat umur yang berbeza sama ada dalam pergaulan, bersopan santun serta budi pekerti yang mulia. 

    Kepimpinan beliau bermula dari akar umbi ketika beliau belum menjawat sebarang jawatan. Dengan berbekalkan minat dan hasrat untuk membangun belia terutama di daerah kelahirannya, beliau telah banyak membimbing belia-belia Daerah Tutong dalam pelbagai bidang dan seterusnya konsisten memimpin belia secara keseluruhan. 

    Ketika ditanya mengenai perancangannya setelah ini, beliau menjelaskan bahawa beliau tetap meneruskan usahanya dalam melakukan aktiviti kemasyarakatan di samping dalam mengungkayahan untuk mengharumkan nama negara dan daerah terutama sekali di Daerah Tutong di mana beliau berkhidmat pada masa ini.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...