Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Tokoh veteran Anime dicengkam kebimbangan

    Gambar AFP

    JEPUN – Industri anime Jepun yang kukuh kini berhadapan risiko persaingan dari China yang semakin meningkat kerana fokus terhadap komersialisme yang telah membelenggu kreativiti, demikian amaran tokoh industri yang berpengaruh, Masao Maruyama.

    Maruyama, seorang waris manga terkenal Osamu Tezuka, mengatakan beliau bimbang Jepun sedang kehilangan daya saing.

    “Di Jepun, orang tidak lagi dilatih dalam animasi,” katanya dalam temu bual bersama AFP.

    “Satu-satunya sebab China belum sepenuhnya mengejar Jepun adalah kerana sebilangan sekatan yang dikenakan terhadap kebebasan berekspresi di sana,” katanya.

    “Jika lebih banyak kebebasan diberikan, Jepun akan dipintas dalam masa yang singkat.”

    Masao Maruyama berkata, komersialisme telah menyekat kreativiti dalam industri anime Jepun.
    Masao Maruyama bimbang perniagaan anime besar Jepun berisiko ‘dipintas’ oleh persaingan China yang semakin meningkat.
    Orang ramai melintasi papan iklan rancangan anime Netflix baharu Pluto di Tokyo Big Sight.

    Walaupun Maruyama bukan seorang pelukis atau pengarah, namun pengaruh beliau dalam industri anime Jepun sangat besar kerana peranan yang dimainkannya di sebalik tabir – dari pengasas studio hinggalah kepada pencari bakat.

    Pada usia 81 tahun, beliau mengakui bahawa kerjayanya sudah di ambang senja, dan Maruyama tidak begitu optimis ketika bersedia untuk meninggalkan industri yang telah membantu membentuknya. Beliau bimbang Jepun terlalu terikat dengan genre yang menguntungkan seperti watak wanita kawaii yang comel, sehingga karya anime Jepun ‘tidak semestinya melebihi’ hasil karya Disney Amerika atau hasil seni arthouse Perancis dari segi kreativiti.

    Beliau memperingatkan bahawa kejayaan sesekali daripada pendekatan yang produktif itu telah mengalihkan perhatian Jepun daripada memupuk bakat generasi seterusnya, sementara China melabur secara agresif dalam bakat animator muda.

    Tokoh manga

    Maruyama telah bangkit daripada seorang waris kepada Tezuka yang sudah tiada, God of Manga yang terkenal dengan siri kartun Astro Boy yang inovatif, menjadi kuasa di sebalik beberapa pengarah anime Jepun yang paling diiktiraf dan menyelia tiga studio animasi sepanjang perjalanannya.

    Sebahagian daripada hasrat untuk menjaga karya-karya Tezuka hidup telah meyakinkan Maruyama untuk mengambil projek terkininya, Pluto, yang diadaptasi daripada manga Astro Boy.

    Siri yang akan disiarkan di Netflix, di mana beliau merupakan penerbit eksekutif, penuh dengan tema-tema seperti peperangan dan diskriminasi yang dirasakan sesetengah orang sangat relevan dengan masa kini.

    Maruyama tidak berasa bersalah tentang pandangannya bahawa beliau adalah ‘waris yang paling autentik kepada DNA Tezuka,’ daripada sikap tak endah terhadap bajet hingga etika kerja yang tidak berkompromi, yang katanya hampir ‘egois.’

    Seperti Tezuka, “Saya sentiasa bertukar fikiran, mengatakan sesuatu yang benar-benar berbeza daripada apa yang saya katakan sehari sebelumnya,” kata Maruyama sambil ketawa.

    “Tetapi mencipta karya adalah tentang mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu, tanpa mengira apa yang awda katakan pada masa lalu.

    “Itulah yang menjadikan awda egois dalam satu cara, dan ia adalah sifat yang saya turunkan dalam bentuk yang tulen.”

    Maruyama telah membantu membawa kehidupan kepada ratusan siri anime dan filem dalam kerjayanya hampir 60 tahun, termasuk saga tinju Ashita no Joe, Ninja Scroll yang mendapat pujian terbaik dan In This Corner of the World yang memenangi anugerah.

    Terserlah transformasi kerjaya

    Keterlibatan yang mendalam dalam produksi membuatnya terkenal sebagai ‘Shogun bayangan,’ tetapi akhirnya dia mulai naik ke pentas.

    Strateginya adalah menggunakan kelayakannya untuk mempromosikan dan memberikan sokongan kepada pengarah yang pantas mendapat perhatian, kata penyelidik sejarah animasi, Masahiro Haraguchi.

    Daripada Mamoru Hosoda (The Girl Who Leapt Through Time) hingga Satoshi Kon (Perfect Blue) dan Sunao Katabuchi (In This Corner of the World), banyak pengarah anime terbaik Jepun melihat prestasi kerjaya mereka semakin meningkat setelah bekerja di bawah Maruyama, kata Haraguchi.

    “Keajaiban Maruyama adalah berpasangan dengan pengarah-pengarah ini dan menyerlahkan transformasi dalam karier mereka,” katanya.

    Namun, Maruyama bergurau bahawa apa yang dilakukannya hanyalah ‘memasak dan membersihkan tandas.’

    “Saya tidak memiliki kemahiran istimewa,” katanya.

    “Saya tidak mengarahkan pengarah-pengarah itu tetapi saya hanya mengikuti mereka dan bakat mereka.”

    Etika kerjanya yang legenda terukir dalam nama tiga studio miliknya, iaitu Madhouse, MAPPA, dan M2, yang semuanya bermula dengan huruf ‘M’ dengan alasan tertentu.

    “Ia bermakna saya adalah seorang yang sadis,” katanya sambil tersenyum lebar.

    “Semakin mencabar, menyakitkan, dan memenatkan projek tersebut, semakin saya termotivasi,” tambahnya.

    Maruyama mengatakan dia bertekad untuk tetap aktif “selama tubuh dan minda saya masih sihat.” Namun, itu tidak bermakna dia tidak sedar akan kematian.

    Beliau menganjurkan upacara pemakaman hidup untuk dirinya sendiri tahun lalu, dengan melukis wajahnya putih untuk menyerupai hantu, yang mengundang gelak tawa dari rakan-rakan sekerjanya.

    “Pada masa itu, saya berfikir: Ya, saya telah memiliki kehidupan yang baik,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...