Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    TOMER 2022 seronok, mencabar

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Tourism Malaysia

    Seronok, mendebarkan selain menguji mental dan fizikal, semuanya terpateri dalam kotak kenangan penulis semasa berlumba sambil meneroka keindahan Malaysia melalui Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2022 baru-baru ini.

    TOMER 2022, pengalaman yang menyeronokkan

    Acara anjuran Tourism Malaysia bermula 22 hingga 24 November lalu, bertujuan untuk mengumpul pempengaruh media untuk membantu mempromosikan pelancongan tempatan Malaysia sambil melengkapkan pencarian scavenger hunt.

    Seramai 88 orang menyertainya daripada kalangan media domestik Malaysia dan antarabangsa dari Brunei, Indonesia dan Thailand yang dibahagikan kepada 21 kumpulan serta menggunakan kereta tajaan Perodua bagi setiap kumpulan.

    Pada hari pertama, para pengamal media telah berkumpul untuk mendaftar di BoraOmbak Putrajaya seawal jam 6:30 pagi. Acara dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, di-ikuti dengan sesi bergambar ramai sebelum perlumbaan dimulakan. Apa yang membuatkan kami teruja ialah kenderaan Pasukan Brunei telah diberikan penghargaan sebagai kenderaan yang pertama untuk berlepas ketika itu!

    Permulaan perlumbaan di Selangor Fruit Valley (SFV)

    Destinasi pertama kami ialah Selangor Fruit Valley (SFV) yang memakan masa dua jam dari tempat berlepas.

    Peserta Brunei menyertai aktiviti berkayak di jeram berarus deras di Riverside Camp, Gopeng, Perak semasa Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2022 baru-baru ini. Aktiviti mendebarkan itu merupakan salah satu daripada beberapa aktiviti perlumbaan jelajah mengenali tempat pelancongan menarik di Malaysia.
    Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab semasa sesi bergambar ramai bersama peserta TOMER 2022 sebelum perlumbaan dimulakan.
    Tugasan pertama kami di Bagas Zakariah adalah membahagikan biji-bijian mengikut warna.
    Hari kedua TOMER 2022 dimulakan dengan aktiviti berkayak.
    Persembahan api dari Budak Api Movement semasa bermalam di Riverside Camp.

    Cef Ismail semasa memperkenalkan buah gabungan nangka dan cempedak yang dipanggil nangchem.
    Sesi bergambar ramai di Tanjung Tualang Tin Dredge No.5.
    Setiap pasukan ditugaskan untuk mencari dua biji buah durian di kebun buah Bagas Zakariah.
    Para peserta diarahkan membuat telur masin di dalam kandang itik peliharaan semasa berada di SFV.
    Pasukan Brunei telah diberikan penghargaan sebagai kenderaan yang pertama untuk berlepas.
    Majlis Apresiasi Media telah diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur yang begitu meriah dengan penampilan tetamu dari Cef Ismail, tarian kabaret dari Istana Budaya dan nyanyian daripada artis-artis Malaysia iaitu Khai Bahar dan Ernie Zakri.

    Semasa dalam perjalanan tersebut, kami juga ditugaskan untuk menjawab persoalan yang berkaitan dengan kenderaan Perodua.

    Semasa berada di SFV, tugasan pertama perlumbaan adalah membuat 12 biji telur masin yang sempurna dalam jangka masa yang ditetapkan. Kami diarahkan untuk membuat telur masin di dalam reban itik peliharaan, di mana penjaga haiwan ketika itu melemparkan serbuk roti ke kaki para peserta sebagai cabaran agar itik mengalihkan perhatian kami.

    Selesai tugasan membuat telur masin, kami kemudiannya meneruskan perjalanan menuju ke rumah kampung tradisional yang juga berada di dalam SFV untuk merakamkan gambar sebagai sebahagian daripada tugasan. Setibanya di sana, kami telah disambut oleh Cef Ismail di mana beliau telah memperkenalkan buah gabungan nangka dan cempedak yang dipanggil nangchem yang dijadikannya minuman smoothie.

    Makan durian di Bagas Zakariah

    Rombongan TOMER 2022 seterusnya meneruskan perjalanan menuju ke Gopeng, Perak, perjalanan yang agak jauh iaitu 150 kilometer (km) dari SFV. Sesampainya di Gopeng, Perak, kami berhenti di Bagas Zakariah, rumah tradisional yang diubahsuai untuk kehidupan moden namun masih mengekalkan suasana kampung.

    Berhampiran rumah tersebut terdapat kebun buah durian seluas lima ekar. Tugasan pertama di sana adalah membahagikan biji-bijian mengikut warna, diikuti dengan pencarian durian di kebun buah.

    Setiap pasukan ditugaskan untuk mencari dua biji buah durian dan pasukan terawal memperolehinya mendapat markah tertinggi. Setelah itu, para peserta ditugaskan untuk membuka durian tersebut dengan hanya dibekalkan sarung tangan dan pemutar skru dan pasukan Brunei mendapat tempat kedua terawal untuk membukanya dengan pantas!

    Tanjung Tualang Tin Dredge No.5

    Perhentian seterusnya ialah Tanjung Tualang Tin Dredge No.5. Dalam perjalanan menuju ke sana, para peserta diberikan tugasan untuk menjawab soalan-soalan berdasarkan nama-nama kedai di salah satu kawasan di Gopeng, Perak.

    Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 merupakan kapal korek bijih timah terakhir di Malaysia. Kami tidak mempunyai masa untuk membuat lawatan penuh di sana namun kami meneruskan scavenger hunt kami di taman TT5 Maze yang terletak di dalam Tanjung Tualang Tin Dredge No.5. Pasukan terpantas untuk mencari jalan keluar dari maze tersebut mendapat markah tertinggi.

    Berkemah di tebing sungai dan persembahan api

    Destinasi terakhir pada hari itu ialah memandu ke Riverside Camp, di mana rombongan tiba sekitar jam 8:30 malam.

    Di sana, kem, lampu dan kerusi telah disediakan untuk bermalam.

    Kami juga dihiburkan dengan persembahan yang begitu ‘hangat’ dan menakjubkan daripada Budak Api Movement yang menggunakan api sebagai bahan hiburan.

    Berkayak

    Keesokan paginya, setiap pasukan dibawa ke hulu sungai bagi memulakan aktiviti berkayak. Kami diberitahu perjalanan berkayak itu memakan masa dalam satu setengah jam untuk sampai ke tempat perkemahan. Namun bagi penulis, ia seolah-olah hanya dalam setengah jam saja disebabkan oleh keseronokan yang dialami!

    Sebaik tiba di kawasan perkhema- han, setiap peserta diberikan masa untuk mengemas kem dan bersiap sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi Majlis Apresiasi Media Tourism Malaysia.

    Setibanya di Kuala Lumpur, kami menetap di Hotel STEG, Chow Kit, Kuala Lumpur, iaitu sebuah hotel butik yang menggabungkan reka bentuk kontemporari dan warisan sejarah, sesuai untuk mereka yang gemarkan tarikan vintaj dan rupa moden dalam satu masa.

    Majlis Apresiasi Media

    Sebagai penghargaan kepada pengamal media dan peserta-peserta TOMER yang membantu Tourism Malaysia mempromosikan pelancongan tempatan Malaysia, Majlis Apresiasi Media telah diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Acara dimeriahkan dengan penampilan tetamu Cef Ismail, tarian kabaret dari Istana Budaya dan nyanyian daripada artis-artis Malaysia iaitu Khai Bahar dan Ernie Zakri. Pemenang untuk TOMER 2022 juga telah diumumkan pada majlis tersebut dan pasukan Brunei berjaya membawa pulang hadiah sagu hati RM500 setelah menduduki tempat ke-12 daripada keseluruhan 21 pasukan.

    Secara keseluruhannya, penulis amat menghargai dan gembira diberikan peluang oleh Tourism Malaysia untuk menyertai TOMER 2022, suatu pengalaman yang tidak ternilai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...