Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    UAE kekal jadi pembekal tenaga utama

    DUBAI, 14 JULAI – Negara ahli OPEC, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan mendukung keselamatan tenaga global, kata presidennya kelmarin ketika harga minyak mudah berubah disebabkan kebimbangan bekalan yang berpunca daripada peperangan yang berlaku di Ukraine.

    Sheikh Mohamed bin Zayen Al Nahyan membuat ikrar itu kepada negara, buat kali pertama sejak beliau menjadi presiden negara yang kaya dengan tenaga itu pada Mei lalu, selepas abang tirinya meninggal dunia.

    “Kami juga akan terus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai, dan mendukung keselamatan tenaga global sebagai pemacu asas pertumbuhan dan pembangunan ekonomi global,” katanya dalam ucapan yang disiarkan dalam televisyen.

    Ucapannya itu dibuat ketika Presiden AS Joe Biden tiba di Israel dalam lawatannya ke Timur Tengah yang juga melanjutkan lawatannya ke Arab Saudi.

    Perjalanannya ke Riyadh dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menstabilkan pasaran minyak yang terjejas oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan mengakibatkan beberapa sekatan dikenakan terhadap Moscow.

    Harga minyak telah merosot di bawah AS$100 setong dalam beberapa hari kebelakangan ini, tetapi kekal tinggi berbanding sebelumnya.

    Biden dijangka untuk berusaha meyakinkan Arab untuk meningkatkan bekalan bagi mengurangkan harga secara mampan setelah tercetusnya inflasi di seluruh dunia dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kelmarin, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi global akan gagal melainkan kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan harga minyak dan penggunaan.

    IEA juga meramalkan permintaan minyak akan terus meningkat, sepertinya ia akan mengatasi bekalan. Ia menyatakan bahawa dunia mempunyai kapasiti yang sedikit untuk meningkatkan pengeluaran, dengan gabungan pengeluaran Arab Saudi dan UAE dijangka merosot kepada hanya 2.2 juta tong sehari pada Ogos nanti. – AFP

    Presiden UAE berikrar akan mengukuhkan negara tersebut sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai bagi mendukung keselamatan tenaga global. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pelancong ‘geli’ temui ribuan gonggok

    TAIWAN, 5 MEI – Di kaki sungai, ribuan lipan bergerak perlahan merangkak di atas tanah secara serentak baru-baru ini dilihat di kawasan pergunungan Taiwan...