Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    UNISSA lancar Protokol Hijau, Kampus Eko

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan UNISSA

    TUTONG, 2 MAC – Sebagai salah satu inisiatif untuk sama-sama melestarikan alam sekitar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengungkayahkan projek Protokol Hijau yang dirasmikan di Kampus UNISSA, Sinaut, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan projek berkenaan sekali gus Eco Campus Sinaut, UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dengan menyaksikan penanaman 100 anak pokok yang terdiri daripada berbagai-bagai jenis pokok buah-buahan dan pokok bunga hiasan.

    Menurut kenyataan UNISSA, projek berkonsepkan kehijauan dan Eco Campus Sinaut itu dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Halalan Thayyiban, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 di bawah kluster projek kemasyarakatan.

    Pelaksanaan projek diketuai oleh Penolong Pensyarah, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Dayang Raihana binti Mohd Raffi.

    Projek Eco Campus Sinaut merupakan inisiatif persatuan pelajar bukan saja untuk melestarikan alam sekitar malah bagi mendidik jiwa pelajar dalam menjaga kepentingan penanaman pokok di kawasan terpilih.

    Dalam masa yang sama, aktiviti mengindahkan landskap dan menghias kampus dengan menggunakan barangan terpakai hasil sumbangan orang awam seperti tayar, dulang telur, kotak, surat khabar dan botol plastik adalah sebahagian daripada kreativiti pelajar di samping pendedahan semangat sukarelawan berjiwa cintakan alam sekitar.

    Aktiviti berkenaan juga bertujuan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu.

    Dr Haji Norarfan bergambar ramai di Eco Campus Sinaut UNISSA yang baru dilancarkan.
    Pelancaran projek Protokol Hijau menyaksikan 100 anak pokok ditanam pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...