Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    UNN, Kementerian Pendidikan bekerjasama untuk e-Education

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan UNN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Amat jelas bahawa pandemik koronavirus dan langkah-langkah yang diambil oleh setiap negara mempunyai kesan yang signifikan kepada sektor awam dan swasta serta sektor pendidikan juga tidak terkecuali.

    Gelombang kedua pandemik telah menyebabkan peralihan pembelajaran normal dalam sektor pendidikan, iaitu daripada pelajar pergi ke sekolah kepada mereka duduk di rumah dan menghadiri kelas secara dalam talian.

    Peningkatan jumlah penggunaan data telah meningkat tiga kali ganda sejak pengumuman langkah-langkah kawalan oleh Kementerian Kesihatan jika dibandingkan dengan tiga tahun dahulu serta pada masa ini, 50 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan 2021.

    Sebagai pembekal infrastruktur telekomunikasi negara, Unified National Networks (UNN) telah melaksanakan siri menaik taraf rangkaian jalur lebarnya untuk menangani peningkatan jumlah dan penggunaan data yang berlaku daripada setiap orang bertugas dan belajar dari rumah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNN, di sini, hari ini, selain menaik taraf kapasiti dan rangkaian, UNN bersama-sama penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu DST, imagine dan Progresif juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ke atas penyelesaian e-Education iaitu projek yang menumpukan kepada menyediakan akses alat-alat pembelajaran bagi guru-guru menyediakan kelas dalam talian dan bagi pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang bernasib baik serta yang berhadapan dengan cabaran untuk menghadiri kelas dalam talian atau e-pembelajaran.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan pihak pengurusan kanan UNN, Dr Steffen Oehler; DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni; imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju; dan Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar serta warga Kementerian Pendidikan bergambar ramai.
    Acara penandatanganan antara Kementerian Pendidikan dan UNN bagi penyelesaian e-Education.

    Kenyataan menyatakan bahawa penandatangan kontrak bagi projek berkenaan antara Kementerian Pendidikan dan UNN diadakan pada hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, timbalan menteri pendidikan, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua pegawai eksekutif penyedia perkhidmatan Brunei iaitu DST, imagine dan Progresif, di mana penandatanganan kontrak di antara KHEU dan UNN dijangka akan diadakan pada bulan ini.

    Kenyataan menyatakan bahawa di bawah projek itu, industri telekomunikasi Brunei akan menyediakan akses kepada rangkaian mudah alih dan membolehkan penggunaan serta data berkaitan dengan laman sesawang pendidikan khusus atau aplikasi yang disediakan kepada guru-guru dan pelajar.

    Dalam usaha bersepadu, DST, imagine, Progresif dan UNN telah memperoleh dan memperuntukkan 15,000 unit komputer riba dan lebih daripada 1,700 peranti mudah alih untuk disediakan kepada guru dan pelajar seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Penyelesaian itu menawarkan akses rangkaian mudah alih, membolehkan pengguna untuk praguna peranti-peranti yang dibekalkan di mana-mana lokasi yang mempunyai liputan mudah alih untuk mengakses internet bagi tujuan pendidikan yang khusus.

    Kenyataan menerangkan bahawa ini adalah termasuk memuat turun dan memuat naik dokumen, akses kepada sistem perisian pembelajaran serta penyertaan kelas-kelas atas talian menerusi peralatan seperti MS Teams dan Zoom. Komputer riba berkenaan juga boleh menggunakan akses WIFI persendirian yang terdapat di lokasi penggunaan.

    Kenyataan menerangkan lanjut bahawa penyelesaian bagi e-pembelajaran bukan sahaja meliputi peranti untuk mengakses kandungan dan kelas atas talian, tetapi peruntukan khas juga dibuat ke dalam rangkaian untuk menyediakan penggunaan khusus dan sumber e-Pembelajaran yang ditetapkan oleh kementerian-kementerian kepada kumpulan pengguna yang ditetapkan bagi memastikan bahawa perisian di komputer riba berkenaan adalah sentiasa dikemas kini dan patch keselamatan dipasang dengan sewajarnya.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler dipetik menyatakan bahawa perkhidmatan telekomunikasi merupakan tulang belakang kepada ekonomi digital dan bahagian penting dalam kehidupan dan tugasan seharian kita.

    “Ini menjadi lebih ketara dengan pandemik yang memberi kesan dan merubah cara kita bekerja dan bagaimana kita memproses banyak perkara dalam ruang peribadi kita,” tekannya.

    Beliau menambah, ia adalah penting dalam penerusan proses pembelajaran di semua peringkat, membolehkan hubungan langsung atas talian di antara guru-guru dan pelajar serta menumpukan kepada penyediaan kelas atas talian yang berkualiti tinggi seperti yang dirasai dalam sebuah bilik darjah fizikal.

    “Kami bangga bahawa kami dapat menyokong inisiatif yang amat penting Kementerian Pendidikan dan KHEU dalam rangka masa yang singkat, mengkhususkan dan mengintegrasikan penyelesaian serta membekalkan peranti-peranti dengan kerjasama semua rakan kongsi yang terlibat,” tambah beliau.

    Kenyataan seterusnya menjelaskan bahawa DST, imagine dan Progresif telah mengeluarkan kad SIM dan ia telah diperuntukkan dalam peranti serta komputer riba yang diagih-agihkan kepada guru-guru dan pelajar.

    Kad SIM dalam peranti dan komputer riba berkenaan dilengkapkan dengan 10GB data mudah alih sebulan untuk memastikan guru-guru dan pelajar mempunyai data yang mencukupi untuk mengendalikan e-pembelajaran mereka. Data berkenaan akan diperuntukkan setiap bulan kepada semua peranti secara automatik dan tiada intervensi pengguna akan diperlukan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...