Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Warga emas makin arif guna aplikasi pintar

    CHINA – Berborak dengan kawan-kawan menerusi video WeChat dan berkongsi gambar pelancongan di aplikasi telah menjadi rutin bagi Feng Jun sejak dia mengunjungi Beijing dari wilayah Liaoning untuk menjaga cucunya enam tahun lalu.

    Wanita berusia 72 tahun itu, yang bersikap terbuka terhadap produk internet, telah belajar menggunakan WeChat untuk menghantar sampul merah atau ‘angpao’ mengandungi wang kepada saudara-maranya dan membeli-belah untuk dirinya.

    Tingkatkan fungsi dan keselamatan aplikasi bagi warga emas

    Bagaimanapun, dia berasa bingung baru-baru ini dengan aplikasi itu, apabila dia mendapati setiap kali selesai membeli sesuatu di WeChat, dia akan menerima pesanan teks mendapati kad banknya dikenakan bayaran, yang tidak pernah berlaku selepas dia menyimpan wang dalam dompet WeChat.

    “Pada mulanya, saya cuba menyelesaikan masalah itu tanpa mengganggu anak lelaki saya, memandangkan dia sibuk dengan kerja. Namun saya gagal selepas mempelajari aplikasi itu untuk masa yang lama, jadi saya terpaksa meminta bantuannya,” ujarnya.

    Masalah yang dihadapi adalah mudah sebenarnya. Sebelum ini, dia meminta anak lelakinya memindah 3,000 yuan kepada seorang saudara menerusi telefon bimbitnya, namun disebabkan baki dompet WeChatnya tidak mencukupi, anak lelakinya menggabungkan kad banknya kepada aplikasi dan membiarkannya selepas itu.

    Anggota sukarelawan mengajar warga emas menggunakan telefon pintar di Xi’an, wilayah Shaanxi. – ANN/China Daily
    Pegawai polis mengajar seorang warga emas cara-cara mengelak daripada ditipu di pusat warga emas di Wuhu, wilayah Anhui. – ANN/China Daily
    Pekerja komuniti berkongsi maklumat anti-penipuan bersama warga emas di Qingdao, wilayah Shandong. – ANN/China Daily
    Pertandingan menggunakan telefon pintar warga emas diadakan di sebuah perpustakaan di Yancheng, wilayah Jiangsu. – ANN/China Daily

    “Bagi ramai pengguna aplikasi, ia mungkin tidak menimbulkan masalah. Namun bagi saya dan golongan generasi saya, ia agak rumit dan mencabar,” katanya, menggesa operator aplikasi supaya menjadikan fungsi aplikasi tersebut lebih mudah digunakan untuk warga emas.

    Justeru, Feng bukanlah satu-satunya pengguna dalam kalangan warga emas di negara itu.

    Pada 2021, dianggarkan sejumlah 18.9 peratus daripada populasi China berusia 60 tahun ke atas, dan lebih 11.5 peratus daripada 1.3 bilion warganet tergolong dalam kumpulan umur tersebut, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional dan Pusat Maklumat Rangkaian Internet China.

    Dalam soal selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna China yang dikeluarkan pada Disember, sebanyak 61.4 peratus daripada 1,926 peserta berkata mereka menggunakan aplikasi setiap hari, merangkumi sosial, berita, gambar, penjagaan kesihatan, hiburan, bayaran dan katering.

    “Manakala lebih 70 peratus daripada peserta memilih supaya aplikasi tersebut disediakan dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah,” kata persatuan yang menjalankan kaji selidik tersebut. Selain itu, ukuran saiz fon yang lebih besar, kurang munculnya iklan dan keselamatan privasi juga turut direkomendasikan oleh para peserta.

    Usaha kerajaan rapatkan jurang digital

    Dengan peningkatan populasi warga emas, maka demografi warganet China juga turut berubah, membawa bersama keperluan yang lebih untuk jabatan kerajaan dalam pengurusan ruang siber dan menggesa perusahaan internet supaya menambah baik produk mereka untuk membantu lebih ramai orang tua mengakses perkhidmatan dalam talian.

    Lantaran itu, bagi merapatkan jurang digital yang sedia ada, ahli-ahli Majlis Negeri dan ahli-ahli kabinet China telah mengeluarkan notis pada 2020, yang mewajibkan usaha yang lebih untuk menyelesaikan kesukaran yang dihadapi warga emas dalam menggunakan teknologi pintar dan menggesa pembaharuan untuk menjadikan teknologi aplikasi lebih mesra bagi pengguna warga emas.

    Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat yang mempunyai peranan utama dalam industri internet, telah mengambil tindakan segera. Pertama, ia merancang pembaharuan dan menetapkan syarat-syarat kerajaan pusat dan seterusnya melancarkan kempen dalam beberapa laman web dan aplikasi pada Januari 2021.

    Untuk memastikan sama ada pembaharuan telah dilaksanakan, persatuan itu telah memilih 104 aplikasi yang sering dimuat turun oleh warganet lebih tua dan mendapati 76 peratus daripada aplikasi telah dinaik taraf untuk memberikan pengguna warga emas mendapat akses lebih mudah kepada internet.

    Misalnya, agensi pelancongan dalam talian Ctrip telah membangunkan versi khas aplikasinya untuk pengguna warga emas dengan saiz fon lebih besar, laman web yang lebih bersih dan fungsi lebih ringkas.

    Disebabkan mod tersebut, pengguna warga emas boleh menikmati perkhidmatan seperti membeli tiket dan menempah hotel, tanpa sebarang iklan yang muncul, malah disediakan fungsi membaca mengenai semua maklumat di aplikasi sekiranya mereka mempunyai kesukaran melihat.

    Tinjauan persatuan menunjukkan jumlah pengguna warga emas yang berdaftar di aplikasi Ctrip telah meningkat sejak edisi khas dilancarkan, yang juga membawa lebih banyak tempahan dalam talian untuk agensi pelancongan.

    Selepas mendapati ramai pengguna warga emas yang menggunakan aplikasi tersebut mempunyai permintaan besar terhadap perkhidmatan panggilan dalam talian, WeChat membuka talian hotline pada Mei 2021 untuk menyediakan perkhidmatan persendirian di WeChat Pay. Mereka yang tidak fasih bertutur Mandarin juga boleh menggunakan perkhidmatan dialek menerusi hotline tersebut.

    Di samping itu, Alipay, yang merupakan satu lagi aplikasi dompet digital, bertindak balas terhadap kebimbangan warga emas mengenai bayaran dalam talian, dengan menawarkan video pengajaran secara dalam talian pada 2019 dan meminta anggota sukarelawan membimbing mereka dalam menggunakan perkhidmatan membeli-belah di platform tersebut pada Mac 2021.

    Permintaan lebih tinggi

    Walaupun perkhidmatan dan fungsi kebanyakan aplikasi telah dioptimumkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, warga emas adalah antara komuniti pengguna besar di China, masih mengemukakan keperluan yang lebih tinggi untuk peranti pintar.

    Dalam soal selidik yang dijalankan oleh pihak persatuan, lebih 81 peratus daripada peserta berkata mereka mengalu-alukan dan menerima perkara baharu dalam era internet, dengan 45 peratus berkata berharap untuk melihat satu aplikasi dibangunkan khas untuk warga emas.

    Apabila ditanya jenis aplikasi khas yang ingin dimiliki, sebanyak 68.8 peratus peserta meletakkan kandungan berkaitan penjagaan kesihatan sebagai pilihan pertama, diikuti penjagaan kejururawatan, bayaran untuk perbelanjaan harian dan perkhidmatan sosial.

    Sementara itu, terdapat juga beberapa saranan supaya aplikasi lebih mesra teknologi ditubuhkan bertujuan untuk memudahkan lagi fungsi aplikasi tersebut.

    Manakala sejumlah 66.7 peratus peserta juga menekankan kepentingan perlindungan terhadap keselamatan harta, mencadangkan operator aplikasi menjamin kesahihan maklumat dan menumpukan lebih pada perlindungan privasi.

    Isu kewangan timbul selepas penipuan telekom dan internet berleluasa di seluruh China sejak beberapa tahun lalu, dan ramai warga emas menjadi sasaran.

    Awal tahun lalu, misalnya, seorang lelaki tua dikenali dengan nama keluarga Liu, dari Jiujiang, wilayah Jiangxi, menghubungi polis selepas dia terpedaya dengan penipuan scam menerusi aplikasi kewangan, menurut Jiujiang Daily, saluran media tempatan. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...