Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Waspada penipuan kewangan melalui telefon

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap penipuan kewangan melalui telefon serta dinasihatkan untuk mengabaikan panggilan masuk daripada nombor-nombor yang tidak dikenali, sama ada tempatan atau antarabangsa, terutamanya jika mereka tidak menunggu sebarang panggilan.

    Saranan dan nasihat dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), di sini, setelah mendapati beberapa orang awam menerima panggilan telefon daripada individu-individu yang menyamar kononnya ada kaitan dengan BDCB.

    Pemanggil, jelas BDCB, bertujuan untuk mendapatkan butiran peribadi dan perbankan dengan niat untuk mendapatkan keuntungan kewangan daripada para mangsa.

    Dalam hubungan itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati apabila menjawab panggilan dengan tidak sengaja daripada nombor yang tidak dikenali, jangan mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon terutamanya maklumat berkaitan dengan urusan perbankan iaitu termasuk butiran pengenalan diri seperti nombor kad pengenalan dan pasport, butiran ATM, kad kredit dan debit termasuk nombor-nombor PIN dan CVC/CVV serta nama pengguna atau kata laluan dalam talian.

    Orang ramai turut dinasihatkan jangan memindah atau mengirim wang kepada organisasi-organisasi atau individu yang tidak dikenali di dalam dan luar negara.

    BDCB menegaskan bahawa sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau lambang BDCB yang serupa tanpa kebenaran bertulis untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya, menipu atau menyebabkan kekeliruan merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah BDCB.

    Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali boleh dijatuhkan.

    BDCB turut menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada dan berhati-hati apabila menerima sebarang bahan komunikasi yang kononnya dikeluarkan oleh BDCB dengan menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau lambang BDCB untuk memohon pembayaran atau butiran peribadi.

    Jika menerima bahan komunikasi berkaitan BDCB yang disyaki palsu, orang ramai boleh mendapatkan pengesahan dengan menghubungi talian 8318388 atau melalui e-mel yang terdapat di laman sesawang rasmi BDCB.

    BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan.

    BDCB juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...