Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    WHO: Kes COVID, kematian terus menurun di seluruh dunia

    GENEVA, 6 APRIL – Jumlah kes koronavirus dilaporkan di seluruh dunia telah menurun dua minggu berturut-turut dan kematian disahkan oleh COVID turut berkurangan minggu lalu, menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

    Dalam satu laporan terkini pandemik, WHO mengatakan sejumlah 9 juta kes dilaporkan, penurunan sebanyak 16 peratus mingguan dan lebih daripada 26,000 kematian baharu.

    Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu juga mengesahkan jangkitan koronavirus menurun dalam semua kawasan di dunia.

    Walau bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa jumlah yang dilaporkan mungkin agak sukar dipastikan kerana banyak negara sudah pun menghentikan ujian saringan besar-besaran bagi koronavirus, bermakna banyak kes kemungkinan besar tidak dikesan.

    WHO mengatakan ia sedang mengesan gabungan varian Omicron versi BA.1 dan BA.2 yang pertama kali dikesan di Britain dalam Januari.

    WHO menjangkakan bahawa gabungan Omicron boleh jadi 10 peratus lebih mudah berjangkit berbanding mutasi sebelumnya, namun bukti lanjut masih diperlukan.

    Agensi itu juga terus memberi amaran kepada negara-negara global untuk tidak terlalu cepat membatalkan protokol COVID dan menjangkakan varian akan datang boleh merebak lebih mudah jika sistem pemantauan dan ujian diabaikan.

    Minggu lalu, United Kingdom mengatakan COVID telah mencecah rekod di seluruh negara itu, dengan statistik kerajaan menganggarkan kira-kira 1 dalam 13 orang dijangkiti koronavirus.

    Angka itu muncul pada hari sama kerajaan Britain mengabaikan program ujian saringan percumanya.

    Dalam pada itu, pihak berkuasa China menjalankan lebih banyak ujian saringan minggu ini di Shanghai yang masih dalam perintah berkurung susulan peningkatan dalam jangkitan; bandar itu merekodkan lebih 90,000 kes namun tiada kematian semasa pandemik.

    Meskipun kekecewaan dan kebimbangan terus meningkat mengenai kesannya ke atas ekonomi, China mengatakan ia masih tetap bertahan dengan pendekatan kerasnya, sifar-toleransi dengan mengenakan perintah berkurung, ujian saringan besar-besaran dan pengasingan diri wajib ke atas semua kes dan kontak terdekat yang disyaki dijangkit COVID. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...