Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    22 usahawan wanita dirai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Seramai 22 orang usahawan wanita berjaya untuk menamatkan program Academy for Women Entrepreneurs (AWE) dan menerima sijil dalam Majlis AWE Graduation yang berlangsung di Dewan VIP, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Pada majlis berkenaan, tiga perniagaan yang dimiliki wanita terbaik juga menerima pembiayaan sebanyak AS$3,000 setiap seorang di mana majlis itu turut menandakan berakhirnya program latihan selama enam bulan yang dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam dan dipermudahkan oleh Darussalam Enterprise (DARe).

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland; Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Daniel Leong, jemputan khas dan para peserta program AWE. Dalam kata alu-aluannya, Daniel Leong menyatakan penghargaan kepada kerajaan AS dalam menawarkan peluang kepada DARe untuk melaksanakan program keusahawanan bagi menyokong calon-calon pemilik perniagaan wanita.

    Ia adalah selaras dengan visi DARe untuk membangunkan perniagaan tempatan menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan di mana AWE memberikan peluang yang baik bagi usahawan wanita tempatan untuk mengambil langkah pertama dalam perjalanan keusahawanan mereka. Setelah menamatkan program AWE, tambahnya, usahawan-usahawan wanita berkenaan masih dapat terus memanfaatkan pelbagai soko-ngan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ditawarkan oleh DARe termasuk akses kepada latihan maklumat perniagaan, pembiayaan, ruang, pasaran dan promosi untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan PYT McClelland bergambar ramai dengan para peserta Program AWE yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Dewan VIP, Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.

    “Kami di DARe akan terus berusaha dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti Kedutaan AS untuk mengkhususkan penyampaian program pembangunan PMKS kami kepada usahawan-usahawan bercita-cita tinggi termasuk mereka daripada kumpulan sasaran tertentu seperti wanita, belia dan lain-lain dalam usaha kami untuk mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

    Pada majlis berkenaan, penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya menamatkan program AWE telah disempurnakan oleh PYT McClelland.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian pembiayaan kepada tiga perniagaan terbaik yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

    Para penerima anugerah berkenaan ialah Eunice Lo Ying Ci bagi Lane Microbakery & Coffee iaitu sebuah syarikat minuman dan makanan unik pengkhususan kepada pastri dan kek Perancis; Dayang Salma Zakiah binti Haji Hassan bagi My Darling Baby iaitu sebuah syarikat yang menumpukan kepada kanak-kanak khusus dalam penjualan barang mainan berpendidikan Montessori serta Dayangku Nathea binti Pengiran Haji Mohd Salleh bagi Thea Seera Enterprise yang membangunkan fesyen siap untuk dipakai mampan.

    Bagi menentukan tiga perniagaan terbaik, sebanyak 12 buah perniagaan telah membentangkan perniagaan mereka kepada panel hakim yang merangkumi ahli Lembaga DARe, Nik Hafimi Abdul Hadii; Pemangku Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS, Jeff Barrus; Pengasas Kunyit 7 Lodge, Dayangku Kemariah binti Pengiran Haji Duraman; Pengurus Sokongan dan Pembangunan Perniagaan DARe, llie Dato Haji Abdul Rahman dan Pakar Kewangan di Program Keusahawanan DARe, Jason Tse Tow dengan sesi pembentangan diadakan di Auditorium Utama, Bangunan Teknologi dan Rekaan pada 20 Mei lalu.

    Program AWE dibukakan kepada usahawan wanita yang berpangkalan di Brunei yang berusia antara 18 hingga 40 tahun yang berada di peringkat awal memulakan dan menjalankan sebuah perniagaan serta mempunyai latihan atau latar belakang perniagaan yang terhad.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...