Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    29 mangsa penyeludupan manusia diselamatkan

    MANILA, 30 SEPT – Polis Filipina berjaya menyelamatkan 29 orang warganegara Myanmar dan China yang didakwa diseludup dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ untuk sebuah syarikat perjudian di ibu kota Manila, menurut pihak berkuasa hari ini.

    Kejadian tersebut berlaku di tengah-tengah tindakan keras ke atas pengendali syarikat perjudian luar Filipina, atau POGO, berikutan laporan penculikan, pelacuran dan pembunuhan.

    Kakitangan POGO kebanyakannya warganegara China dan menyasarkan pelanggan dari China di mana perjudian diharamkan. Sebahagian lagi dikaitkan dengan pelaburan palsu.

    Mangsa terbaharu, 23 orang dari Myanmar dan enam dari China, berjaya diselamatkan semasa serbuan pihak polis kelmarin, menurut Mejar Jeneral Eliseo Cruz kepada wartawan.

    Serbuan itu merupakan ‘operasi susulan’ berdasarkan maklumat daripada mangsa, menurutnya, dan menambah bahawa mereka bekerja untuk syarikat-syarikat yang menyamar mempunyai ‘operasi POGO yang sah’ namun terlibat dalam ‘aktiviti haram, terutama dalam penyeludupan manusia’.

    Dua orang mangsa dari Myanmar memberitahu polis bahawa mereka tiba di Filipina pada Mac selepas direkrut di Dubai untuk bekerja sebagai ‘wakil perkhidmatan pelanggan’.

    Pasport mereka telah dirampas dan mereka dipaksa bekerja 14 jam sehari, berbual dalam talian dengan pelanggan berpotensi dan menggalakkan mereka untuk ‘bermain dan melaburkan wang’ sebagai sebahagian daripada penipuan, kata Cruz.

    Mereka hanya menerima satu bulan gaji.

    Pemberi maklumat berkata mereka cuba untuk berhenti kerja dan pulang ke negara asal, namun sebaliknya mereka dipindahkan ke sebuah lagi syarikat dan diberitahu untuk membayar AS$9,400 setiap seorang sebelum mereka boleh berhenti kerja.

    Disebabkan tidak mahu bekerja namun tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran, “Mereka dikurung dalam sebuah bilik, dipukul dan dikenakan renjatan elektrik dan tidak diberikan makanan dan minuman,” kata Cruz.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...