Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    $3 juta untuk agihan catuan makanan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pandemik COVID-19 telah memberikan impak yang mendalam kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan rakan-rakan strategik dalam sama-sama menangani serta membantu pihak kerajaan khususnya peranan sukarelawan dan masyarakat.

    Penglibatan kementerian berkenaan secara langsung bersama para sukarelawan amatlah signifikan dalam mana, sejak Mac 2020, hampir 8,000 sukarelawan belia telah berdaftar dan ditugaskan di 143 lokasi berasingan dengan khidmat 600 hingga 800 orang sukarelawan pada setiap hari.

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam ucapannya semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, hari ini.

    Delegasi ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.

    Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Dato mengetengahkan pencapaian para sukarelawan yang mempunyai impak iaitu pengagihan catuan makanan kepada kira-kira 119,082 individu merangkumi 21,846 rumah sehingga 8 Februari.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa berucap pada sesi muzakarah di DBP.
    Ketika sesi perbincangan bagi mengongsikan pandangan, cadangan dan isu-isu semasa antara ahli-ahli MMN dan KKBS.

    Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan hampir $3 juta untuk pengagihan catuan makanan bagi individu yang menjalani Perintah Kuarantin.

    Para sukarelawan juga tampil ke hadapan dalam membantu golongan susah melalui inisiatif Sumbangan Pandu Lalu catuan makanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan kerjasama KKBS dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

    Hasil sumbangan orang ramai sejak September 2021, lebih 3,000 buah rumah telah diberikan catuan makanan yang merangkumi hampir 20,000 individu.

    Beliau berkata, sikap kesukarelawanan tanpa mengira umur menunjukkan sikap resilient dan pemedulian tinggi dalam kalangan masyarakat Brunei dan secara langsung meningkatkan semangat bersatu padu dan berganding bahu secara whole of nation.

    “Ini amat bertepatan dengan prinsip apabila dalam perkara memelihara dan mengelinga kesejahteraan rakyat ke arah mencapai hidup yang lebih bermakna, tiada sesiapa pun ketinggalan,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato juga telah mengongsikan pencapaian terkini pelaksanaan Pelan Strategik KKBS 2020–2024 dalam merealisasikan visi kementerian iaitu bangsa Brunei cemerlang.

    Antara yang disentuh adalah mengenai Sistem Kebajikan Negara (SKN) di mana, beliau mengongsikan bahawa setakat 8 Februari, seramai 25,806 orang telah mendaftar dalam sistem berkenaan dan daripada jumlah tersebut, 25,761 telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan sebanyak 12,989 permohonan dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sebanyak 12,772 permohonan.

    Di bawah JAPEM, 10,511permohonan telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Permohonan dan 4,487 permohonan telah diluluskan bagi bantuan kewangan dan in-kind.

    Sesi muzakarah disusuli dengan sesi perbincangan antara ahli-ahli MMN dengan KKBS yang dihasratkan sebagai satu wadah untuk bertukar-tukar fikiran, mengongsikan pandangan, meneroka cadangan dan juga mendengar isu-isu semasa yang akan dapat menyumbang kepada merapatkan lagi jurang dalam pemberian perkhidmatan dan dasar KKBS ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

    Hadir pada sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di KKBS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...