Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    60 sertai Perkhemahan Belia Bersatu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 60 orang belia berusia antara 17 hingga 23 tahun dari keempat-empat daerah telah mendaftar bagi menyertai Perkhemahan Belia Bersatu yang berlangsung empat hari bermula hari ini.

    Majlis perasmian program kerjasama antara Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Persatuan Bekas Peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun, (BERSATU) itu telah diadakan di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Belia dan Sukan di JBS, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Objektif utama perkhemahan tersebut adalah untuk memupuk semangat kepimpinan, patriotisme, disiplin, kesukarelawanan, dan komited dalam tugas berpasukan termasuk aktiviti perbincangan dan persembahan.

    Pengarah Belia dan Sukan dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa golongan belia sewajarnya merasa amat bersyukur dan mengambil langkah proaktif dalam mempertingkatkan keupayaan dan keterampilan diri masing-masing.

    Antara peserta yang menyertai Perkhemahan Belia Bersatu.

    “Sesebuah bangsa dan negara itu akan lebih berbangga jika golongan belianya mahu mengambil peranan sama ada dari segi sumbangan tenaga mahupun buah fikiran dalam proses pembangunan bangsa dan negara,” tekannya.

    Menurut beliau, selaku generasi yang akan meneruskan kesinambungan bangsa, golongan belia perlu merebut peluang-peluang yang ada bagi memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian diri dengan melengkapkan diri dan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta sikap-sikap positif dan terpuji agar dapat menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan bangsa dan negara.

    Perkhemahan itu diharap dapat memberi hasil yang positif dan melahirkan belia yang berpotensi besar, selain membangunkan semangat kepimpinan, tanggungjawab, keyakinan, dan mengembangkan semangat patriotik mereka serta menerapkan calak keBruneian.

    Para belia yang mengambil bahagian turut disediakan sebuah platform iaitu sesi perbincangan untuk menyuarakan kebimbangan mereka, mencadangkan penyelesaian dan mencari alternatif kepada isu-isu dalam negara, serantau dan antarabangsa.

    Sesi itu diharap akan dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih baik dan memperkasakan belia masa depan yang bersedia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...