Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    8 ahli Pengakap Kelana terima Anugerah BP

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil dan Lencana Anugerah Baden Powell (BP), Sijil dan Lencana Keahlian Association of Top Achiever Scouts (ATAS) dan Sijil Penyertaan kepada ahli pengakap yang mengikuti Hari Kebangsaan ke-38 bagi ahli-ahli Pengakap Kelana dan Pengakap Dewasa.

    Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Bangunan Pengakap itu dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

    Dalam ucapannya, beliau melahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada ahli-ahli pengakap yang menerima sijil dan anugerah pada majlis berkenaan.

    “Komitmen ahli-ahli sangat penting dalam menggerakkan dan menggiatkan lagi program-program PPNBD kerana pada 2023, persekutuan pengakap akan mencapai usia 90 tahun pergerakan pengakap di negara ini,” jelasnya.

    Majlis menyaksikan penyampaian sijil dan Lencana Anugerah BP kepada lapan orang ahli Pengakap Kelana yang disempurnakan oleh Haji Awang Badar.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada 46 orang ahli Pengakap Kelana dan Pengakap Dewasa yang mengikuti sambutan Hari Kebangsaan ke-38 pada Februari lalu.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan lencana keahlian ATAS kepada lima orang ahli Pengakap Dewasa dan empat orang ahli Pengakap Kelana yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Sumber Dewasa, ATAS #256 Haji Awang Hassan bin Haji Awang Abdul Hamid.

    Haji Awang Badar memasangkan lencana kepada salah seorang ahli Pengakap Kelana. – Gambar serahan PPNBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...