Sunday, May 19, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    959 terima sijil taraf kerakyatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Seramai 959 orang menerima sijil taraf kerakyatan setelah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-40, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil taraf kerakyatan pada majlis di Dewan Bankuet, Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan agar penerima sijil akan menghargai pengurniaan dengan mencurahkan taat setia yang tidak berbelah berbahagi dan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara ini dari semasa ke semasa.

    Para penerima terdiri daripada mereka yang telah memohon taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) Ujian Bahasa Melayu secara bertulis dan lisan.

    Selain itu, penerima di bawah Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara Brunei dan di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei Darussalam, tambahnya.

    Seramai 959 orang telah menerima sijil taraf kerakyatan setelah mendapat limpah kurnia perkenan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-40, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara penerima sijil taraf kerakyatan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dr Rozia mewakili dua orang anaknya yang sebelum ini warga British.- GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Haji Shaifol melahirkan rasa syukur dan terharu apabila dihubungi dan dimaklumkan menjadi salah seorang penerima pada majlis itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Eunice Sharon Keasberry yang mewakili anaknya berkata, permohonan dibuat sebaik saja anaknya lahir. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beberapa penerima yang ditemui berkongsi perasaan gembira dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas perkenan mengurniakan sijil kerakyatan Brunei.

    Haji Shaifol bin Haji Jol yang berasal dari Sarawak dan menetap di negara ini sejak kecil lagi, melahirkan rasa syukur dan terharu apabila dihubungi dan dimaklumkan menjadi salah seorang penerima pada majlis itu.

    Tenaga pengajar di salah sebuah sekolah di Daerah Belait itu menceritakan bagaimana beliau telah membuat pelbagai persiapan dengan membuat banyak kajian mengenai tradisi Brunei sebelum menduduki peperiksaan sebagai salah satu proses untuk mendapatkan sijil kerakyatan berkenaan.

    Dengan pengurniaan sijil kerakyatan itu, beliau akan terus berusaha berkhidmat memberikan yang terbaik kepada anak bangsa dan dapat menjadi contoh yang terbaik kepada anak didik.

    Turut ditemui ialah Dr Rozia binti Haji Adenan yang mewakili dua orang anaknya yang sebelum ini merupakan warga British mengikut kewarganegaraan suami beliau.

    Beliau tidak henti-henti melahirkan rasa syukur dengan kurnia perkenan Baginda Sultan untuk anak-anaknya menjadi salah seorang penerima pada majlis itu.

    Jika sebelum ini, beliau terpaksa mendapatkan pas pelajar yang perlu dilakukan setiap tahun, dan kini tidak perlu lagi dan ia benar-benar memberikan keselesaan selain dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh kerajaan Baginda.

    “Menyentuh mengenai dari segi kekeluargaan, agama dan budaya pula, suami dan anak-anak dapat menjalani kehidupan seperti orang Brunei yang lain,” jelasnya.

    Sementara itu, Eunice Sharon Keasberry yang berbangga menjadi anak Brunei turut mewakili anaknya, Ethan Joshua Tham untuk menerima sijil kerakyatan pada majlis tersebut.

    “Hasrat untuk mendapatkan sijil kerakyatan kini akhirnya tercapai, yang mana permohonan dibuat sebaik saja Ethan Joshua Tham lahir,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...