Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    AU terima Swahili bahasa rasmi pekerjaan

    NAIROBI, 10 FEB – Kesatuan Afrika (AU), yang terdiri daripada 55 negara anggota, secara rasmi menerima pakai bahasa Swahili sebagai bahasa rasmi pekerjaan.

    Kelulusan itu dibuat berikutan permintaan Naib Presiden Tanzania Philip Mpango yang berhujah bahawa lebih 100 juta orang di Afrika bertutur dalam Swahili, sekali gus menjadi antara bahasa yang paling banyak dituturkan di benua Afrika, lapor Agensi Anadolu.

    “Kiswahili (nama lain untuk Swahili) digunakan dalam pelbagai komuniti termasuk Komuniti Afrika Timur (EAC), Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) serta sebagai bahasa pengajaran di banyak negara Afrika,” kata Mpango, sambil menambah ia adalah bahasa yang lazim digunakan dalam EAC.

    Pengumuman itu dibuat dalam Perhimpunan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Ethiopia.

    Sudah sekian lama, pemimpin Afrika cuba mendesak agar AU menerima pakai Swahili sebagai bahasa Seluruh Afrika.

    Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengisytiharkan 7 Julai sebagai Hari Bahasa Kiswahili Sedunia.

    Menurut PBB, bahasa itu berasal dari Afrika Timur, dan penutur Swahili tersebar di lebih 14 negara: Tanzania, Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi, Republik Demokratik Congo (DRC), Sudan Selatan, Somalia, Mozambique, Malawi, Zambia, Comoros, dan sehingga ke Oman dan Yaman di Asia Barat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...