Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Bersama perkasa ekonomi wanita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD), telah menyertai Forum Wanita dan Ekonomi APEC (WEF) yang berlangsung dalam format hibrid pada 7 September.

    Forum itu turut dihadiri oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ekonomi APEC di mana beberapa peserta hadir secara fizikal di Bangkok, Thailand.

    Forum dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Masyarakat Thailand, Tuan Yang Terutama Chuti Krairiksh di mana forum yang bertemakan, Ensuring Women’s Economic Empowerment, mengetengahkan perbincangan yang menumpu kepada bagaimana pemerkasaan ekonomi wanita boleh menyumbang kepada pelaksanaan Wawasan Putrajaya 2040 APEC, termasuk melalui Pelan Tindakan Aotearoa dan Pelan Hala Tuju La Serena untuk Wanita dan Pertumbuhan Inklusif (2019 – 2030).

    Selain itu, peserta juga bertukar pandangan mengenai bagaimana wanita boleh memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan dan kesejahteraan ekonomi yang lebih inklusif, saksama dan mampan di samping membina daya tahan masa depan.

    Ekonomi-ekonomi yang menghadiri forum itu secara amnya menyatakan komitmen untuk menangani ketidaksamaan jantina dan menggalakkan akses yang lebih besar kepada pendidikan STEM.

    Awang Mohammad Harris semasa menyertai WEF yang berlangsung secara hibrid pada 7 September lalu. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    TYT Chuti Krairiksh dalam ucapan alu-aluannya mengatakan pemerkasaan ekonomi wanita boleh membantu mencapai kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar. Beliau juga menyatakan perspektif jantina mesti diarus perdanakan ke dalam dasar dan menekankan kepentingan kerjasama dan rangkaian untuk mengukuhkan dan mempromosikan pemerkasaan ekonomi wanita.

    Manakala Awang Mohammad Harris dalam ucapannya antara lain mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wanita dalam menangani perubahan iklim, termasuk melalui model Ekonomi BCG. Beliau juga menghargai keperluan untuk menggalakkan dasar responsive gender ke arah memupuk PMKS wanita dan mengesahkan pendirian Negara Brunei Darussalam untuk terus menyokong peluang saksama bagi pekerjaan dan pendidikan wanita serta menjalankan lebih banyak inisiatif domestik bertujuan memberi inspirasi dan memperkasakan keusahawanan wanita.

    Ketika menyentuh secara ringkas matlamat Negara Brunei Darussalam di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2035, beliau menyatakan advokasi negara untuk mempertingkatkan integrasi dan celik digital melalui pendekatan keseluruhan masyarakat.

    Pada forum berkenaan, Pengarah Eksekutif Urusetia APEC, Tan Sri Datuk Dr Rebecca Sta Maria turut menyampaikan taklimat mengenai kerja APEC untuk menyokong pemerkasaan ekonomi wanita di rantau ini.

    Ini diikuti dengan kemas kini daripada Pengerusi Bersama ABAC Micro, Small and Medium Enterprise and Inclusiveness Working Group (MSME WG) serta ahli ABAC Brunei, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii mengenai program kerja ABAC 2022 dan cadangan ABAC, termasuk APEC Ekonomi untuk membangunkan infrastruktur perundangan dan kawal selia, menyediakan dasar dan perjanjian memudahkan e-dagang rentas sempadan bagi perniagaan milik wanita dan mempercepatkan usaha ke arah mencapai perjanjian perdagangan / e-dagang digital serantau untuk menyelaraskan peraturan merentasi semua pasaran APEC dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...