Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Brunei kini pengeksport tomato ceri

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Brunei kini mempunyai satu lagi pengeluaran dan eksport komersial baharu iaitu tomato ceri manis dan berjus yang dihasilkan oleh Superfish Growers Sdn Bhd.

    Tomato tersebut dihasilkan melalui projek rintis Sistem Eco Nursery dalam penanaman kontena dan menggunakan teknologi penanaman sederhana di negara ini.

    Sehubungan itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin bersama para pegawai Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengadakan lawatan ke tapak projek tomato ceri itu untuk menyaksikan teknologi penanaman ekosemaian inovatif pertama, baru-baru ini.

    Yang Berhormat Dato dan rombongan dialu-alukan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Superfish Growers Sdn Bhd, Hazel Lim dan Ketua Pegawai Teknikal, Lee Wei
    Sheng yang menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sistem penanaman hidroponik dalaman digunakan untuk menghasilkan benih tomato ceri yang tumbuh dalam persekitaran tertutup dengan sempurna menggunakan robotik kemudian dipindahkan ke Rumah Hijau apabila ia menjadi anak benih matang.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa memetik tomato ceri yang dihasilkan melalui projek rintis Sistem Eco Nursery.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan mencuba buah yang turut dihasilkan.

    Usaha perintis ini adalah di bawah projek Transformasi Digital Asia (ADX) yang ditaja oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan disokong oleh Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).

    Teknologi yang dipindahkan adalah dari ELM Co Ltd, Jepun yang telah membangunkan sistem Eco Nursery serta mampu menghasilkan tomato ceri berkualiti tinggi.

    Penasihat bagi Presiden Hal Ehwal Brunei, ERIA, Okoichi Hiroshi dalam kenyataan itu mengatakan, “Penting untuk mewujudkan teknologi penanaman untuk mengawal persekitaran teruk bersuhu tinggi, kelembapan tinggi dan hujan lebat untuk menggalakkan pengeluaran domestik sayuran bernilai tinggi.”

    Beliau menambah, “Kami mahu membantu Brunei dari segi mencapai keselamatan makanan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat yang mana ERIA juga sedang berbincang dengan kementerian di Brunei serta ASEAN untuk projek seterusnya bagi keselamatan makanan melalui Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian ASEAN.”

    Dalam pada itu, Lee Wei Sheng turut mendedahkan selain menghasilkan tembikai manis Brunei dan tomato, Superfish Growers juga merancang menambah varieti tembikai baharu dan dalam proses cuba menghasilkan strawberi Jepun.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...