Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bulan Ramadan terus semarak

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Nurdiyanah R., Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Bulan Ramadan yang tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi terus disemarakkan dengan majlis-majlis keagamaan terutamanya majlis khatam yang diadakan oleh pelbagai pihak.

    Pejabat Peguam Negara, hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa. 

    Turut hadir ialah Peguamcara Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi serta pegawai dan kakitangan Pejabat Peguam Negara.

    Di Daerah Tutong, Majlis Khatam Al-Quran 50 kali telah diadakan bersempena sambutan Jubli Emas 50 tahun Bangunan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pagi tadi.

    Yang Berhormat Peguam Negara hadir selaku tetamu kehormat pada majlis khatam Pejabat Peguam Negara di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah.
    Haji Mohammad Rosli mengagihkan sumbangan kepada salah seorang penerima Program Infak Mahabbah Ramadan, selepas majlis khatam di Masjid Hassanal Bolkiah, kelmarin.
    Antara kakitangan Hengyi yang menyertai majlis khatam secara dalam talian. – Gambar serahan Hengyi Industries
    Antara yang menyertai majlis khatam Institut KEMUDA yang diadakan di kampusnya di Beribi, kelmarin. – Gambar serahan Institut KEMUDA
    Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah turut mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah seluruh negara.
    Antara peserta majlis khatam Al-Quran di Masjid Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Majlis tersebut juga turut diselajurkan dengan Perasmian Program Infak Mahabbah Ramadan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Pada tahun ini bersempena sambutan jubli emas, majlis khatam dibuat sedikit berbeza dengan mengumpulkan seramai 800 orang pembaca Al-Quran iaitu 50 kumpulan pembaca (setiap kumpulan mengandungi sekurang-kurangnya 15 pembaca) yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, pegawai masjid dan imam, guru-guru agama, belia-belia masjid, para mualaf, ahli jawatankuasa dan takmir masjid, kumpulan beliawanis dan Muslimah masjid dan pegawai dan guru-guru dari Mahad Islam Brunei untuk bersama menghabiskan bacaan 30 Juzuk setiap kumpulan.
    Program Infak Mahabbah Ramadan pula telah dirasmikan dengan mengagih-agihan barangan keperluan kepada 10 orang penerima yang dijemput ke majlis itu.

    Ia adalah satu aktiviti kemasyarakatan yang dirancang untuk membantu
    fakir dan miskin di Daerah Tutong de-ngan memberi sumbangan berupa makanan asasi.

    Program berkenaan menggunakan kaedah pandu-lalu bagi menerima sumbangan ikhlas daripada orang awam yang telah diadakan pada 23 dan 24 April lalu dan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang terpilih daripada senarai Bahagian Kawalan Agihan Zakat (BAKAZ).

    Pembahagian seterusnya akan dijalankan dengan menghantar ke rumah-rumah penerima yang lain. Dianggarkan sebanyak 80 hingga 100 sumbangan akan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang terdiri daripada kalangan fakir dan miskin di Daerah Tutong.

    Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah pula mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah seluruh negara.

    Acara tersebut berlangsung di masjid berkenaan dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengiran Datin Hajah Mas Relawati @ Khadijah binti Pengiran Mohd Said, isteri Timbalan Mufti Kerajaan.

    Seramai 18 orang kakitangan Hengyi Industries Sdn Bhd pula menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran secara maya, hari ini, dalam sama-sama menyemarakkan lagi keindahan bulan suci Ramadan.

    Turut mengadakan majlis khatam adalah Institut KEMUDA yang mengendalikannya buat kali ke-7 sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1443H, yang berlangsung di kampusnya di Beribi, hari ini.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ibu bapa peserta yang diraikan bersama pensyarah dan kakitangan institut tersebut. 

    Majlis turut diisi dengan bacaan tahlil khusus buat Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim serta ahli keluarga kakitangan dan pelajar yang telah pun kembali ke rahmatullah.

    Manakala itu, Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri mengadakan majlis khatam Al-Quran sebagai tanda kesyukuran selepas menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran, hari ini.

    Majlis tadarus Al-Quran diadakan setiap malam dan telah disertai oleh AJK masjid, belia dan beliawanis, Muslimah serta para jemaah masjid berkenaan bagi merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang mulia ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...