Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    COVID: 751 kes baharu dicatat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Dalam seminggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan sedikit peningkatan di mana jumlah kes yang dikesan telah melebihi 500 kes setiap hari, dengan lebih 99 peratus daripadanya telah dikesan melalui ujian pantas antigen (ART).

    Walau bagaimanapun, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 terus berada di tahap yang rendah, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengatakan, satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala satu kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Beliau seterusnya turut mengongsikan bahawa sebanyak 751 kes jangkitan baharu telah dilaporkan hari ini dengan kesemuanya hasil ujian ART dan tiada kes dikesan daripada
    182 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah kes aktif yang ada pada hari ini sebanyak 4,129 kes.

    Sementara itu, menurutnya lagi, dalam kalangan kes yang dikesan setiap hari dalam masa seminggu kebelakangan ini, lebih 99 peratus kes yang dikesan juga telah dikategorikan dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan kelmarin. Turut hadir ialah Konsultan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong dan Konsultan (Penyakit Berjangkit), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin. – Gambar oleh James Kon

    Dalam pada itu, liputan vaksinasi COVID terus meningkat iaitu 72.3 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga manakala 5.2 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    Sebanyak 71.4 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin.

    Walau bagaimanapun, hanya 48.5 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin.

    “Dalam masa 24 jam yang lalu, dua kes COVID-19 telah meninggal dunia di mana kedua-dua kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID. 

    “Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga Allahyarham.

    Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin,” ujar beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...