Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Cuaca panas, ribut di pedalaman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam monsun peralihan iaitu tempoh peralihan selepas monsun timur laut dan sebelum memasuki monsun barat daya.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMC) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa semasa tempoh monsun peralihan ini, keadaan cuaca negara pada amnya cenderung panas pada waktu siang, manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

    Kejadian ribut petir, kadangkala lebat dan berangin kencang boleh berlaku dan terdapat risiko banjir kilat atau banjir semasa tempoh monsun peralihan nanti.

    Kenyataan menambah, keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula malam ini (18 April) hingga 24 April disebabkan pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan negara kita.

    Hujan dan hujan berpetir sekali-sekala dijangka berlaku dengan angin kencang meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat atau hujan berpetir.

    Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana, mencapai sehingga 1.2m.

    Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang
    berlanjutan lebih satu jam dan semasa kejadian air pasang.

    Selain itu, kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh jabatan dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Kenyataan menyatakan, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX di mana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...