Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Sekolah Rendah Nakhoda Rashid, Kampung Menunggol dengan kerjasama Kumpulan Mumtaz, telah menjalankan aktiviti pengumpulan data bagi kenderaan yang terbiar di kampung berkenaan, baru-baru ini.
Ia merupakan salah satu projek daripada kumpulan peserta Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan Kohort ke-33.
Aktiviti pengumpulan data berkenaan adalah sebagai nilai tambah dan sokongan yang diungkayahkan Kumpulan Mumtaz dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan untuk memberikan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar di mana meninggalkan kereta yang rosak di perkarangan rumah dan kawasan-kawasan awam bukan saja merosakkan kebersihan persekitaran rumah dan tempat-tempat awam bahkan boleh menjadi isu keselamatan.
Kereta-kereta yang terbiar boleh membahayakan keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut, kerana mungkin dijadikan tempat permainan atau tempat binatang-binatang seperti ular bersembunyi.
Aktiviti diketuai oleh Guru Besar Sekolah Rendah Nakhoda Rashid, Haji Mohd Suazmie bin Haji Zulkifli dan melibatkan 10 pelajar dan seorang guru ICT.
