Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Djokovic berundur dari Piala ATP

    SYDNEY, 29 DIS – Novak Djokovic telah menarik diri daripada kejohanan Piala ATP di Sydney, kata penganjur hari ini, sekali gus menambah keraguan mengenai status vaksinasinya dan sama ada dia akan mempertahankan kejuaraan di Terbuka Australia.

    “Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic telah menarik diri dari Piala ATP 2022. Pasukan Serbia kini akan dipimpin oleh pemain nombor 33 dunia Dusan Lajovic,” kata penganjur dalam satu kenyataan sebelum kejohanan bermula pada Sabtu.

    Timbulnya spekulasi mengenai sama ada Djokovic, 34 tahun, akan berkunjung ke Australia, setelah enggan mengesahkan sama ada dia telah menerima suntikan vaksin koronavirus.

    Juara Terbuka Australia sembilan kali itu mungkin memenangi gelaran Grand Slam ke-21 sekiranya dia beraksi di Melbourne Park pada bulan depan, namun untuk memasuki Australia, dia dan anggota pasukannya perlu menerima suntikan vaksin.

    Sebelumnya, dia menyatakan bantahan terhadap vaksin dan bapanya Srdjan berkata pada akhir November bahawa Djokovic mungkin tidak akan beraksi dalam Grand Slam pertamanya tahun ini, menuduh penganjur ‘memeras ugut’.

    Tenis Australia telah menganjur penerbangan sewa untuk membawa bintang antarabangsa ke Melbourne dan Sydney untuk kejohanan persahabatan berkenaan.

    Juara bertahan wanita Terbuka Australia Naomi Osaka adalah antara mereka yang mendarat semalam, namun Djokovic tidak ada dalam penerbangan tersebut. Pemain juga boleh memilih untuk menaiki pesawat komersial.

    Terbuka Australia dijangka bermula pada 17 Januari. – AFP

    Gambar bertarikh 3 Disember 2021 menunjukkan Novak Djokovic mengembalikan bola semasa perlawanan perseorangan lelaki Piala Davis di antara Croatia dan Serbia di arena Madrid di Madrid. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...