Saturday, May 18, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Enam terima bantuan kerajaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Enam ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran rumah dan rumah roboh telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS itu dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman yang seterusnya menyerahkan bantuan kewangan kepada empat ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, seorang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan seorang terlibat dalam kejadian rumah roboh.

    Sebuah rumah milik Haji Othman bin Ibrahim di STKRJ Kampung Telisai, Daerah Tutong mengalami kerosakan di sebahagian sudut rumah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober lalu kira-kira pukul 9:51 pagi. Salah seorang penghuni rumah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dirawat segera oleh pasukan paramedik di tempat kejadian.

    Empat buah rumah di RPN Kampung Mengkubau dan sebuah rumah di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara yang dimiliki oleh Hajah Alimah binti Haji Ahad, Tan Chia Chun, Dayang Ameliani binti Haji Emran dan Dayang Chee binti Jemat telah dimasuki air yang melebihi paras satu kaki. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian berlaku pada 4 September dan 8 Oktober.

    Manakala mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Saba Ujong, Daerah Brunei dan Muara juga dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Rumah milik Dayang Sarinah binti Haji Mohamad roboh pada 6 Oktober lalu dan akibat kejadian itu rumah beliau tidak selamat untuk didiami lagi.

    Bantuan kewangan tersebut dihasratkan untuk menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah di samping meringankan kesusahan yang dialami demi kesejahteraan mereka sekeluarga.

    Dayang Mirany Floridzah menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...