Sunday, May 19, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Festival Makanan Singapura bakal kembali

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Festival Makanan Singapura bakal kembali lagi ke Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bermula Jumaat ini hingga penghujung Februari depan.

    Ia dibawakan oleh Restoran Anjung Saujana di bawah Royal Brunei Culinary (RBC) dengan sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura.

    Pada penganjuran promosi pada kali ini, Suruhanjaya Tinggi Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura turut bekerjasama dengan The Black Hole Group yang tidak asing lagi di Singapura bagi menjayakan festival itu.

    Sehubungan itu, majlis resepsi media mengenainya telah diadakan petang tadi yang dihadiri oleh Ketua Operasi The Black Hole Group, Afiq Sulaiman; Ketua Cef The Black Hole Group, Cef Ashik; Sous Chef Eksekutif The Black Hole Group, Cef Zulfadhli; dan Tipo Group Sous Chef, Cef Imran.

    Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Restoran Anjung Saujana tersebut ialah Ketua Cef Restoran Anjung Saujana, Cef Rosli dan Zura Hassim yang mewakili RBC.

    Salah seorang cef daripada The Black Hole Group semasa menyediakan salah satu hidangan ala carte.

    Antara hidangan makanan Ala Carte yang disajikan semasa Festival Makanan Singapura 2023 itu nanti.

    Cef Zulfadhli semasa sesi bersama media tersebut menjelaskan bahawa penganjuran kali ini setentunya berbeza daripada yang pernah diadakan pada dua tahun sebelum ini di mana mereka jelas telah mempersiapkan diri dengan lebih memahami bagaimana kehendak pelanggan di negara ini.

    Pada tahun ini, tambahnya, mereka akan membawakan lebih banyak cita rasa tempatan termasuklah ayam percik dan yang seumpamanya yang mana lebih dekat dengan kehendak masyarakat dan pelanggan di negara ini.

    Sementara itu, Afiq Sulaiman turut mengongsikan bahawa The Black Hole Group kali ini ingin mengetengahkan makanan-makanan yang terdapat di restoran mereka di Singapura bagi memberi peluang kepada pelanggan di Brunei merasakan sendiri keistimewaan makanan yang disajikan di Singapura.

    The Black Hole Group merupakan kolektif jenama gaya hidup yang merangkumi entiti penginapan, pengurusan acara dan makanan dan minuman. Mereka adalah pemain masa depan dalam bidang kulinari Halal bebas Singapura yang menyajikan pelbagai masakan kontemporari di mana restoran di bawahnya termasuklah Tipo Pasta Bar, Working Title Burger Bar, The Great Mischief, Afterwit dan Ela.

    Pada Festival Makanan Singapura tahun ini, The Black Hole Group akan menyediakan menu ala carte yang digabungkan dengan makanan kontemporari seperti Creamy Crab Potato Gnocchi, Bon Jovi Burger served with Sambal Kicap with fries, Ayam Percik Skewer served with Roasted Potato & Romaine with Cincalk Lime Dressing dan banyak lagi.

    Selain menawarkan menu hidangan ala carte, cef-cef di Anjung Saujana dan The Black Hole Group juga bekerja sama menyediakan menu istimewa bagi bufet makan malam termasuk Singapore Tulang Merah in Kawah, Gado Gado Minang, Blue Butterfly Nasi Lemak Singapore, Seafood Laksa Pasta, Singapore Chili Crab dan bermacam-macam lagi.

    Sepanjang festival berkenaan, Restoran Anjung Saujana akan menawarkan menu hidangan ala carte setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu manakala bufet makan malam pula boleh dinikmati setiap Jumaat dan Sabtu sahaja.

    Dengan sokongan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), festival kali ini akan menawarkan promosi Tag & Win di mana para pelanggan diberi peluang untuk memenangi baucar makan di Restoran Anjung Saujana.

    Para pelanggan juga berpeluang menyertai Eat & Win bagi peluang memenangi pelbagai hadiah-hadiah menarik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia cipta AI boleh klasifikasi tumor otak lebih cepat, tepat

    CANBERRA, 19 MEI - Pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mengklasifikasikan tumor otak dengan lebih cepat...