Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Fuad muncul juara Kejohanan Kuda Lasak

    BANDAR PERMAISURI, 29 JAN – Muhammad Fuad Hashim daripada pasukan State Terengganu Endurance Team (STET) berdepan saingan se-ngit sebelum berjaya meraih gelaran juara dalam Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2023 yang berakhir hari ini.

    Dengan catatan masa lima jam 15 minit dan 15 saat, Muhammad Fuad yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA di Hanoi berjaya mengetepikan pencabar terdekatnya, Muhammad Aminuddin Ali daripada skuad Royal Kelantan Endurance (RKE) yang mencatat masa lima jam 27 minit dan sembilan saat.

    Diikuti oleh pelumba RKE, Muhammad Hafiz Mustafa di tempat ketiga dengan catatan masa lima jam 47 minit dan 40 saat.

    Menurut Muhammad Fuad, cuaca hujan menjadi cabaran utama perlumbaan kali ini, selain saingan sengit daripada pelumba berpengalaman yang mewakili pasukan termasuk RKE.

    Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mampu menamatkan perlumbaan dan menempa satu lagi kejayaan untuk disimpan dalam profilnya.

    “Saya tak menjangkakan kemenangan hari ini kerana ramai pelumba hebat yang mengambil bahagian.

    “Ambil masa berbulan juga berlatih untuk mengekalkan kecergasan dan momentum,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa PDRM 2023 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Setiu, hari ini.

    Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

    Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa PDRM tahun ini ialah penganjuran kali kelima dan julung kali diadakan di TIEP. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...