Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    IBTE rai ulang tahun jubli emas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Pendidikan teknikal Brunei telah mula beroperasi sejak pengambilan pelajar pertama pada September 1971 di mana dalam tempoh 50 tahun penubuhannya, beberapa peristiwa penting telah tercapai termasuk penubuhan Majlis Pendidikan Teknikal dan Vokasional Brunei Darussalam (BDTVEC) pada 1991.

    Peranan penting yang dilaksanakan oleh majlis itu adalah menyediakan sistem pensijilan dan akreditasi kelayakan teknikal dan vokasional tempatan dengan mengambil alih persijilan-persijilan yang dikeluarkan sebelum ini yang menggunakan persijilan seperti City & Guilds dan Business and Technician Education Council (BTEC).

    Satu lagi mercu tanda signifikan adalah memartabatkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional di Negara Brunei Darussalam dengan penubuhan Jabatan Pendidikan Teknik (DTE) pada 1993.

    Mercu tanda dan pencapaian pendidikan teknikal Brunei diraikan dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Jubli Emas Pendidikan Teknikal Brunei yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Majlis yang diadakan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan acara sambutan.

    Di majlis berkenaan, wakil mantan pengarah iaitu Mantan Pengarah Pendidikan Teknik dan Mantan Setiausaha Tetap Pengajian Tinggi, Dato Paduka Haji Mohd Daud bin Haji Mahmud berkata bahawa mereka yang telah bersara mempunyai khazanah ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang dapat dikongsi bersama pihak IBTE jika diperlukan.

    Beliau turut berkata bahawa mereka berdoa semoga apa jua kejayaan dalam pendidikan teknik dan vokasional akan terus berkembang maju di bawah IBTE demi mencapai hasrat negara dalam wawasan 2035 iaitu untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran laman sesawang baharu IBTE yang disempurnakan oleh Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada 10 orang mantan pengarah dan pengarah Pendidikan Teknik Brunei.

    Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke juga mengadakan lawatan ke petak-petak pameran yang antara lain mempamerkan mengenai sejarah dan pencapaian pendidikan teknikal Brunei dan seterusnya dinaik taraf menjadi IBTE.

    Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke menyaksikan pameran mengenai sejarah dan pencapaian pendidikan teknikal Brunei.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...