MILAN, 22 JUN – Simone Inzaghi menandatangani kontrak lanjutan bersama Inter Milan yang mengekalkannya di San Siro sehingga 2024, menurut pengumuman kelab Serie A berkenaan, kelmarin.
Menerusi satu rakaman video yang dikeluarkan oleh Inter Milan dalam media sosial, pengerusi kelab tersebut, Steven Zhang mengatakan bahawa Inzaghi akan kekal untuk dua tahun lagi selepas melanjutkan perjanjian semasanya bersama kelab tersebut selama setahun.
Sementara itu, menurut laporan media Itali, gaji jurulatih berusia 46 tahun itu juga turut meningkat satu juta euro kepada kepada lima juara euro.
Inter menaruh harapan kepada Inzaghi walaupun bekas pemain Lazio dan penyerang Itali itu gagal mempertahankan gelaran Serie A, yang telah dirangkul oleh pesaing tempatan mereka, AC Milan selepas perebutan gelaran juara ditentukan pada perlawanan terakhir musim lalu.
Dia menyertai Inter Milan pada musim panas yang lalu dari Lazio apabila Antonio Conte mengundurkan diri selepas memenangi kejohanan pertama kelab gergasi Milan itu sejak 2010.
Inter hampir saja mengalami krisis dan dengan Inzaghi hanya beberapa minggu untuk menjalankan tugas baharunya, kelab tersebut menjual pemain Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi, pemain utama dalam kemenangan Scudetto, termasuklah Christian Eriksen.
Tiada siapa yang menjangkakan Inter mampu mempertahankan kejohanan tetapi Inzaghi melakukan semampunya dengan membuat perubahan untuk mengisi kekosongan selepas pemain utama keluar dari kelab tersebut.
Dia mencipta gaya permainan baharu, di mana ia berjaya mencungkil bakat terpendam seluruh ahli pasukan berbanding menggunakan beberapa khidmat pemain utama dan memenangi Piala Itali serta Piala Super, kedua-dua kemenangan dengan mempamerkan aksi yang menakjubkan semasa menentang Juventus. – AFP