Sunday, May 19, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    JOM EKSPLORASI MALAYSIA

    Sky Mirror Selangor

    Oleh Syahmi Hassan

    Sebut sahaja tentang Semenanjung Malaysia, mungkin ramai kurang mengenalinya, tetapi bila bercakap mengenai Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, pastinya akan terbayang keseronokan ibu negara Malaysia yang rancak, moden, indah dan penuh dengan daya tarikan.

    Semenanjung Malaysia terdiri dari 11 negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara Malaysia. Setiap negeri kaya dengan adat budaya, keindahan alam semulajadi dan pelbagai tarikan pelancongan unik, pastinya menjanjikan keseronokan dan mengujakan semua yang menikmatinya.

    Tip-tip perjalanan

    Sekiranya ke Malaysia, berikut adalah tip yang boleh dimaanfaat dalam percutian awda. Kekal terhidrat dan mengenakan pakaian selesa. Rujuk ramalan kaji cuaca jika perlu.
    Untuk bersiar-siar di sekitar Lembah Klang, bolehlah mengunakan sistem jaringan perhubungan rel LRT, MRT, monorel dan komuter yang efisien. Sistem e-hailing juga antara alternatif yang boleh dicuba. Untuk ini, awda boleh mengunakan kad tambah nilai Touch n Go.
    Selain itu, beramah mesra dengan orang tempatan melalui acara atau festival adalah cara terbaik untuk menyelami adat, budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat di Malaysia. Antara acara yang dinanti-nantikan ialah perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia yang penuh berwarna-warni dan meriah pada 31 Ogos 2023 di Putrajaya dengan 100,000 pelawat dijangka hadir.

    Berbelanja sepuas hati

    Malaysia mempunyai banyak kompleks membeli-belah yang menawarkan pelbagai pilihan dan jenama untuk semua lapisan umur.
    Pavilion KL ialah destinasi membeli-belah mesti dikunjungi, dengan jenama premium semuanya di bawah satu bumbung.
    Bagi yang berkeluarga, kunjungi Berjaya Times Square di Bukit Bintang dan IOI City Mall di Selangor. Berjaya Times Square menampilkan taman tema tertutup dengan roller coaster dalam bangunan, hotel suite dan pangsapuri sesuai untuk percutian keluarga.
    IOI City Mall menampilkan ruang pameran edutainmen dalaman, pusat sukan, gelanggang luncur ais dan taman pengembaraan dengan lapan tarikan termasuk memanjat dinding, mengemudi labirin dan laluan berhalangan.

    Relaks dan manjakan diri awda

    Hot Springs dan Spa Lost World di Ipoh, Perak adalah tempat untuk awda memanjakan diri dan memastikan awda kembali bertenaga dengan terapi tubuh di pondok urut awda sendiri dan Saphira’s Lair yang direka khas untuk kanak-kanak.
    The Datai Langkawi terletak di sepanjang pantai persendirian pulau misteri Langkawi, membolehkan awda melarikan diri daripada hiruk-pikuk bandar dan bersatu dengan alam sekitar. Aktiviti-aktiviti ditawarkan termasuklah yoga, pilates dan amalan tradisional Melayu yang menggabungkan senaman ringan, riadah hiking di hutan dan urutan seluruh badan.
    Bagi ‘healing budaya’ pula, Gaya Island Resort adalah tempat bersantai di pantai dikelilingi dengan keindahan hutan hijau dengan pemandangan menarik Gunung Kinabalu di kaki langitnya. Spa Village yang ada di pulau itu menampilkan tempat ‘persembunyian’ untuk rawatan budaya tradisi daripada pelbagai kaum asli Sabah.

    Nikmati pelbagai sajian popular

    Terdapat pelbagai masakan Malaysia dengan gabungan gaya masakan yang berbeza sekali gus menghasilkan rasa hidangan ikonik untuk memenuhi cita rasa semua.
    Antaranya ialah Nasi Kerabu yang berwarna biru, salah satu makanan ikonik Malaysia dan disajikan bersama campuran ulam-ulaman, keropok, ikan atau ayam goreng, telur masin rebus. Warna biru adalah daripada bunga telang digunakan sebagai pewarna makanan semula jadi. Sangat disyorkan untuk mencubanya di Kelantan dan Terengganu.
    Masak Lemak Cili Padi Daging Salai pula ialah makanan istimewa Negeri Sembilan, terdiri daripada daging panggang yang kemudiannya dimasak lemak pedas dalam santan. Dengan gabungan rasa dan tekstur, ia pastinya akan memuaskan selera sesiapa sahaja.
    Selain itu terdapat Nasi Beriani, Nasi Ambeng, Masak Asam Pedas dan Ayam Taugeh antara makanan ikonik perlu dicuba di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

    Eksplorasi tempat-tempat menarik

    Sky Mirror Selangor dinamakan sempena pantulan langitnya seperti cermin, fenomena mengagumkan ini berlaku pada masa tertentu dalam sebulan. Sky Mirror ialah dasar laut yang muncul di atas air ketika air surut, memberikan ilusi berjalan di atas air. Posing dan rakam gambar kreatif awda dengan pemandangan menakjubkan dan kagumi hidupan marin di sekeliling awda.
    Legoland merupakan destinasi taman tema percutian terbaik untuk semua. Ia terdiri daripada lapan kawasan bertema, taman air dengan lebih 20 gelongsor serta akuarium yang menampilkan lebih 13,000 hidupan laut.
    Underwater World Langkawi pastinya akan menawan sesiapa sahaja dengan ribuan spesies akuatik dan antara yang menjadi tumpuan adalah Penguin Rockhopper, dinamakan sempena kecenderungannya suka melompat dari batu ke batu.

    Aktiviti menyeronokkan

    Terdapat banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di Malaysia, sehinggakan awda mungkin terpaksa merancang terlebih dahulu yang mana mahu diikuti.
    Antara aktiviti tersebut ialah berkunjung ke jalan kawasan sibuk di Jonker Street, salah satu tarikan utama di Melaka. Ia sesuai bagi mereka yang suka makanan jalanan, kraf tangan tradisional dan barangan vintaj. Pasar malam itu akan lebih sibuk terutamanya pada musim perayaan.
    Selain itu, untuk menikmati seni jalanan, berkunjunglah ke George Town di Pulau Pinang yang disenaraikan dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia terkenal dengan seni mural jalanan berwarna-warni, menghidupkan semula seni binaan lama di bandar itu.
    Beberapa lukisan menggabungkan objek 3D seperti mural kanak-kanak menunggang basikal dan aktiviti mencari lukisan jalanan ini unik seperti melakukan ‘treasure hunt’ yang mengujakan.

    TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI MALAYSIA

    GL@W Putrajaya (Glamping @ Wetland Putrajaya)
    Lost World of Tambun Ipoh
    Underwater World Langkawi
    Masakan Malaysia
    Pengibaran bendera pada Hari Kebangsaan
    Legoland Malaysia Resort

    Gambar serahan Tourism Malaysia

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia cipta AI boleh klasifikasi tumor otak lebih cepat, tepat

    CANBERRA, 19 MEI - Pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU) telah membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mengklasifikasikan tumor otak dengan lebih cepat...